Ziyad tekad pecah rekod peribadi, dunia di Tokyo

Muhammad Ziyad Zolkefli
Muhammad Ziyad Zolkefli
A
A
A

ATLET lontar peluru F20 negara Muhammad Ziyad Zolkefli, bertekad mahu memecahkan rekod peribadi serta rekod dunia yang juga miliknya, pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Muhammad Ziyad berkata, dengan catatan lontaran emas 17.29 meter yang dipegangnya ketika ini, beliau mengimpikan dan mahu menjarakkan lagi rekod dunia itu, sehingga sampai tiada siapa dapat mengejar rekod tersebut.

“Apabila sampai ke Tokyo nanti, saya ingin fokus dan buat sebaik mungkin untuk membanggakan negeri (Selangor) dan negara.

“Walaupun kami bukan atlet normal, kami mempunyai tekad yang tersendiri dan akan buat sebaik mungkin untuk capai sesuatu dan meraikan negara,” katanya pada Majlis Perjumpaan dan Sembang Santai Bersama Atlet Selangor yang akan mewakili negara ke Paralimpik Tokyo 2020’ secara maya pada Jumaat.

Sementara itu, seorang lagi atlet paralimpik kelahiran Selangor, Muhammad Hafiz Jamali yang akan bersaing dalam acara lumba basikal trek satu kilometer berkata, beliau merasa tekanan untuk beraksi pertama kali di temasya tersebut.

Namun katanya, dirinya dapat menyesuaikan tekanan itu berbekalkan latihan psikologi dan sokongan daripada atlet paralimpik yang berpengalaman, yang memberi tunjuk ajar serta jurulatih yang memberi bimbingan.

Di samping itu, pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, turut menyuntikkan kata-kata semangat kepada beliau ketika berlatih di Veledrom Nilai.

“Kami (atlet Paralimpik) jumpa pun sebentar sahaja kerana (masih) dalam fasa kuarantin, tetapi kami telah mengambil semangat untuk berlawan bersungguh-sungguh dan Mohd Azizulhasni turut mengeluarkan pepatah 'jika tubuh yang besar sudah tentu gajah menjadi raja di rimba' dan dari situ kami ambil semangat beliau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Selangor menaruh harapan terhadap dua atlet tersebut untuk mengharumkan Selangor dan negara di persada dunia.

“Apabila Muhammad Ziyad menang di Olimpik Rio 2016, kerajaan Selangor telah menyerahkan sebuah rumah kepada beliau. InsyaALLAH sekiranya kedua-dua atlet ini pulang dengan cemerlang nanti, kita akan bawa perkara ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan kami akan beri ganjaran yang bersesuaian nanti,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengumumkan telah menyediakan peruntukan sejumlah RM10,000 setiap seorang kepada dua wira sukan Selangor iaitu Muhammad Ziyad dan Muhammad Hafiz, yang akan beraksi di Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung daripada 24 Ogos hingga 5 September depan. - Bernama