Empat parti pembangkang di Sabah tolak tawaran politik Muhyiddin

Shafie Apdal
Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Empat parti pembangkang menolak sekeras-kerasnya tawaran politik yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui ucapan khas pada petang Jumaat.

Kenyataan bersama berhubung perkara itu dikeluarkan Parti Warisan Sabah (Warisan), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Kata kenyataan itu, sejak tahun lalu lagi, parti-parti pembangkang telah membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement).

"Walaupun Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan serta kebajikan rakyat.

"Namun beliau dengan sombong telah menolak segala tawaran pembangkang. Sejak hari pertama dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau dengan sewenang-wenangnya menyalahgunakan undang-undang demi kuasa," katanya.

Katanya, keangkuhan Muhyiddin untuk kekal berkuasa dengan cara membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Sabah, Kedah, Perak dan Johor.

"Kami cukup jelik dengan hipokrisi yang ditunjukkan oleh Muhyiddin dalam Pengumuman Khas sebentar tadi terutama sekali apabila beliau cuba untuk membeli sokongan menerusi reformasi Akta Lompat Parti sedangkan kerajaan beliau telah dibentuk dengan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti setelah menerima tawaran dan sogokan.

"Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa bukan tanggungjawab Muhyiddin untuk memastikan kewujudan sokongan majoriti pada mana-mana ahli Parlimen sebelum meletakkan jawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kenyataan itu mendesak supaya beliau meletakkan jawatan secara terhormat dan benarkan proses demokrasi berjalan semula.

"Segala cadangan reformasi yang kononnya dibentangkan oleh Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat dan bukan daripada Perdana Menteri pintu belakang.

"Muhyiddin perlu letak jawatan pada kadar segera," katanya.

Sebelum itu, kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengasas Muda, Syed Saddiq, Baru Bian daripada PSB dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.