Semangat Bonnie kian membara menjelang Paralimpik Tokyo 2020

Bonnie - Foto Bernama
Bonnie - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, kini berada di landasan terbaik bagi menghadirkan khabar gembira buat kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, yang dijadual berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September depan.

Jurulatih kebangsaan Jamil Adam percaya, Bonnie yang bakal turun selaku pemegang rekod dunia bagi kategori 72 kilogram (kg) ke atas, mampu menyumbang pingat buat negara sekiranya berjaya menampilkan aksi terpuji, seperti dipamerkan pada sesi latihan akhir di Bukit Jalil ketika ini.

“Sudah semestinya kita harapkan Bonnie menang emas, namun jika beliau dapat raih pingat tidak kira warna apa sekali pun sudah cukup baik,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Bonnie muncul antara pencabar utama pingat pada Paralimpik Tokyo, selepas menjuarai Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lepas, dan Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand, Mei lalu.

Atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu berjaya memecahkan rekod dunia, selepas melakukan angkatan bebanan 230 kg di UAE, sekali gus memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami dengan bebanan seberat 229kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.

Sementara itu, Jamil mengingatkan atlet berusia 22 tahun itu yang bakal membuat penampilan sulung pada temasya sukan tersebut, agar berwaspada dengan ancaman daripada pencabar lain terutama pemenang perak Rio 2016 Rasool Mohsin dari Iraq, dan juara dunia 2017 dari China Hu Peng, kerana mereka berdua dijangka mampu menggugat misi Bonnie untuk meraih emas.

Dalam pada itu, Jamil memberitahu seorang lagi atlet Malaysia Jong Yee Khie, yang bakal bersaing dalam acara kategori 107kg ke atas, juga sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menggegarkan Tokyo International Forum, venue pertandingan powerlifting pada Sukan Paralimpik kali ini.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang masalah dan persiapan akhir berjalan lancar, sebelum kami berlepas ke Tokyo pada 21 Ogos ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut dimaklumkan kem powerlifting negara dijangka dibenarkan menjalani latihan di venue pertandingan, tiga hari setelah selesai menjalani kuarantin di Tokyo.

Bonnie dijadual membawa cabaran negara 28 Ogos ini manakala Yee Khie pada 30 Ogos di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini mengumumkan, kontinjen paralimpik disasarkan membawa pulang tiga emas pada Sukan Paralimpik Tokyo, dengan sukan powerlifting antara prospek utama menyumbang pingat pada temasya sukan di negara matahari terbit itu. - Bernama