X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Kluster tempat kerja, 12 orang asli mati di Batang Padang

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

IPOH - Sebanyak 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan membabitkan orang asli di daerah Batang Padang, setakat ini.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, daerah sama turut mencatatkan 1,159 orang asli telah dijangkiti wabak berkenaan.

Menurutnya, punca jangkitan yang dikenal pasti bermula daripada orang asli bekerja di kilang dan tempat kerja yang menjadikan kluster Covid-19 seterusnya merebak ke komuniti masing-masing.

"Tindakan kawalan jangkitan telah dijalankan melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) Sungkai khas bagi pesakit Covid-19 dalam kalangan orang asli.

"Turut dikenakan adalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi 24 kampung terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada 9 Ogos, kerajaan mengenakan PKPD selama 14 hari bermula Rabu sehingga 24 Ogos ini ke atas 24 lokaliti perkampungan orang asli di daerah itu melibatkan Kampung Sungai Lah, Mukim Chendering; Kampung Menderang, Mukim Sungkai serta Kampung Senta, Kampung Chang dan Kampung Sanding di Mukim Bidor.

Sementara Mukim Batang Padang pula adalah Batu 6, Batu 7, Batu 7 ½, Batu 14, Batu 16, Batu 17, Batu 18, Batu 19, Kampung Kenderong, Kampung Sungai Rensa, Kampung Sungai Chendon, Kampung Sungai Odak, Kampung Ampangan, Kampung Pos Woh, Kampung Sungai Bot Dalam, Kampung Sungai Bot Luar, Kampung Sungai Tidong, Kampung Lubuk Gaharu dan Kampung Woh Intake.

Mengulas lanjut, Lay Ming berkata, setakat Jumaat, seramai 10,221 orang asli iaitu 45.5 peratus daripada jumlah keseluruhan komuniti itu di Perak telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

"Sasaran 80 peratus warga dewasa orang asli menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dijangka dicapai pada akhir Ogos ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!