Polis bongkar taktik edar dadah guna syarikat penghantaran

Kotak berisi dadah yang dirampas polis pada Rabu.
Kotak berisi dadah yang dirampas polis pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua duda dan seorang lelaki bujang ditahan secara berasingan di Cheras dan Kajang kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menahan suspek pertama kerana disyaki menghantar kiriman berisi bahan disyaki dadah di sebuah syarikat penghantaran di Cheras di sini pada jam 11.45 pagi.

"Hasil pemeriksaan kotak kiriman yang dihantar suspek, kita menjumpai dadah jenis methamphetamine anggaran berat 2,316 gram," katanya melalui kenyataan.

Muhammad Idzam berkata, hasil soal siasat, polis berjaya memberkas suspek kedua di sebuah kondominium di Kajang.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek kedua, kita menjumpai kunci dan kad akses untuk ke salah satu unit kondominium berkenaan.

"Pasukan serbuan telah menjalankan pemeriksaan di rumah itu, kita menahan suspek ketiga dan menjumpai beberapa dokumen kiriman," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan telah ke sebuah pangsapuri di Wangsa Maju di sini pada jam 4 petang hari sama.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah telah menjumpai dadah jenis methamphetamine (6.90 gram), ketamin (7.88 gram), heroin (2.36 gram) dan erimin 5 (4.42 gram), keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM85,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Idzam, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 59 tahun adalah penganggur.

"Suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan satu rekod jenayah, manakala suspek kedua dan ketiga tiada sebarang rekod kesalahan lampau," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal urin suspek pertama didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan morphine.

"Suspek kedua pula, didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala suspek ketiga negatif," katanya.

Muhammad Idzam memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.