MAIWP peruntuk RM376,200 bantu petugas pengurusan jenazah Covid-19

Mohd Daud (empat dari kiri) serahkan sumbangan cek kepada Rosli yang mewakili petugas khas pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mohd Daud (empat dari kiri) serahkan sumbangan cek kepada Rosli yang mewakili petugas khas pengurusan jenazah di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM376,200 sebagai sumbangan kepada petugas khas pengurusan jenazah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, sumbangan diberi kepada 204 petugas membabitkan 113 pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) serta 91 sukarelawan terdiri daripada penggali kubur dan pemandu kenderaan jenazah.

Menurutnya, sumbangan dalam bentuk elaun khas sebanyak RM300 seorang akan diterima selama enam bulan.

“Peranan pasukan pengurusan jenazah Covid-19 adalah mengurus dan menyediakan kelengkapan pengurusan jenazah yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus itu bermula daripada urusan hospital hingga proses pengebumian berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“MAIWP sentiasa memikirkan keperluan bantuan kepada pihak yang terjejas termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan jenazah Covid-19,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di sini pada Jumaat.

Dr Mohd Daud turut menyerahkan sumbangan kepada Tokoh Frontliner Khas Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021, Roslee Ali disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, MAIWP turut mengadakan sumbangan bantuan secara simbolik kepada peniaga pasar malam dan bantuan bakul makanan kepada masyarakat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Seminar, Bangunan Perkim Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Mohd Daud kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah dengan peruntukan sejumlah RM2.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Penerima terdiri daripada 5,000 peniaga pasar dan pasar tani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebanyak RM500 secara ‘one off’.