Padah tangkap ikan di perairan TTS Pulau Tiga, 15 ditahan

Seramai 15 individu ditahan selepas didapati menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram di kawasan perairan Taman-Taman Sabah Pulau Tiga, Kota Kinabalu.
Seramai 15 individu ditahan selepas didapati menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram di kawasan perairan Taman-Taman Sabah Pulau Tiga, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 15 individu yang didapati menceroboh dan menangkap ikan secara haram di kawasan perairan Taman-Taman Sabah (TTS) Pulau Tiga, ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK), pada malam Khamis.

Dalam operasi jam 10 malam itu, semua individu berusia antara 25 hingga 56 tahun ditahan bersama empat bot ketika sedang berlabuh di perairan Kelampunian Besar, Pulau Tiga.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua individu itu dikesan menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua hasil laut disembunyikan di dalam kotak penyimpanan khas di bot berkenaan.

Antara hasil laut yang dirampas dan akan dilepaskan semula di kawasan perairan Taman-Taman Sabah Pulau Tiga, Kota Kinabalu.
Antara hasil laut yang dirampas dan akan dilepaskan semula di kawasan perairan Taman-Taman Sabah Pulau Tiga, Kota Kinabalu.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah menangkap ikan dalam kawasan perairan TTS Pulau Tiga.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Enakmen Taman 1984 Pindaan 2007 mengikut Seksyen 48(1)(c),(d) dan (p)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Abduh berkata, semua yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke Stesen Taman Pulau Tiga untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Hasil keseluruhan rampasan termasuk bot dan hasil laut dianggarkan bernilai RM170,810 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Hasil laut yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilepaskan semula di kawasan perairan TTS Pulau Tiga," katanya.

Sebelum itu, operasi itu turut disertai Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Taman Taman Sabah (TTS) dan World Wild Fund For Nature (WWF).