Negara barat tonjol sikap dua darjat: Presiden Pas

Kapal MV Mercer Street yang dikendalikan oleh syarikat milik Israel diserang di Oman, Julai lalu. - Foto Reuters
Kapal MV Mercer Street yang dikendalikan oleh syarikat milik Israel diserang di Oman, Julai lalu. - Foto Reuters
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap dua darjat yang ditunjukkan negara barat terbukti apabila mereka menyahut seruan Israel untuk mengambil tindakan terhadap Iran yang dituduh melakukan serangan ke atas kapal yang membawa barang mereka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, negara kuasa besar itu tidak pernah membuat kenyataan mengutuk walaupun rejim Zionis dengan nyata menyerang rakyat Palestin sehingga mengorbankan banyak nyawa.

“Israel juga bertindak merampas rumah kediaman, kebun dan ada juga yang dimusnahkan serta menyerang negara jiran, Syria dan Lubnan setiap minggu atau bulan.

“Bahkan, negara kuasa besar itu sentiasa berada di belakang tindakan veto terhadap segala keputusan yang hanya mengutuk Israel walaupun belum lagi diambil sebarang tindakan.

“Langkah yang dilakukan hanyalah atas prinsip untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan Israel, langsung tidak mementingkan keselamatan Palestin dan negara Arab yang diceroboh tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

United Kingdom dan Amerika Syarikat percaya Iran adalah dalang di sebalik serangan kapal tangki yang mengorbankan dua mangsa dan berjanji akan bertindak balas.

Menurut laporan BBC, serangan itu merupakan satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.

Kapal MV Mercer Street yang dikendalikan oleh syarikat milik Israel diserang di Oman, Julai lalu, sehingga menyebabkan mangsa warganegara Britain dan Romania terbunuh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerima lebih 3,000 aduan salah laku Israel terhadap rakyat Palestin dan negara jiran namun mereka tidak mampu mengambil tindakan tegas.

“Sebaliknya, undang-undang antarabangsa akan digunakan apabila Israel disentuh dan tidak mempedulikan apabila mereka menceroboh negara lain sehingga bersikap melampau.

“Walaupun sudah ada keputusan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang tidak membenarkan tindakan terhadap Palestin, namun pendatang Yahudi terus mengganas dengan dilindungi oleh pasukan keselamatan Israel,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Amerika Syarikat yang bersahabat dengan negara Islam dan Arab itu dilihat lebih berkhidmat kepada Israel.

Jelasnya, media turut digunakan bagi menggambarkan Israel sebagai negara yang dizalimi dan diancam keselamatan, walaupun Zionis adalah penggerak kepada kezaliman di seluruh dunia.