BNM: Prestasi perdagangan terus disokong permintaan luaran yang kukuh

malaysia
malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi perdagangan Malaysia akan terus disokong oleh pengukuhan permintaan luaran dan perdagangan global, kata Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat.

Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Malaysia dapat memanfaatkan peningkatan teknologi global serta pengeluaran dan harga komoditi yang lebih tinggi.

"Prospek perdagangan, bagaimanapun masih tertakluk kepada keadaan pandemik, baik di dalam mahupun luar negara selain daripada penguatkuasaan semula langkah-langkah pengekangan yang lebih ketat," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk suku kedua 2021 secara maya di sini pada Jumaat.

Nor Shamsiah berkata, eksport Malaysia terus berdaya tahan walaupun terdapat pelbagai langkah pengekangan sejak awal 2021 dan meningkat sekitar 30 peratus pada separuh pertama 2021.

Mengenai prospek pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan swasta, beliau berkata, BNM menjangkakan persekitaran operasi FDI di negara ini meningkat kerana kemajuan pesat program vaksinasi telah memperlihatkan hasil positif yang memungkinkan lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti dibuka semula.

Gabenor menambah, peningkatan berterusan dalam permintaan luaran akan menguntungkan industri berorientasi eksport seperti sektor elektrik dan elektronik serta sektor pembuatan yang berkaitan primer.

"Pelbagai reformasi atau pembaharuan struktur daripada kerajaan seperti usaha menarik pelaburan berkualiti dengan meneruskan aspirasi pelaburan negara sebagai asas untuk strategi pelaburan kita dan usaha mendigitalkan ekonomi melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia juga akan membantu pelaburan dalam bergerak ke hadapan," kata Nor Shamsiah.

Beliau turut menyatakan, pandemik Covid-19 dan langkah-langkah pengekangan telah menjejaskan persekitran pelaburan di dalam negara dan juga global.

Artikel Berkaitan:

Cengkaman pandemik ini telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan menghentikan operasi perniagaan, sekali gus melemahkan aliran masuk FDI, katanya sambil menambah Malaysia tidak terkecuali daripada trend global.

"Namun, pada ketika ini, sektor ekonomi yang penting di Malaysia masih dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan hari ini, FDI Malaysia mencatat aliran masuk sebanyak RM8.2 bilion untuk suku kedua tahun 2021, terutamanya dalam bentuk kepentingan ekuiti dan dana pelaburan.

Pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti oleh kewangan dan perlombongan; terutamanya dari Jepun, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Pada masa sama, pelaburan langsung ke luar negara mencatatkan aliran keluar sebanyak RM4.0 bilion yang disumbangkan oleh ekuiti dan saham dana pelaburan.

Syarikat-syarikat Malaysia di luar negara kebanyakannya terlibat dalam sektor kewangan, pembuatan dan maklumat sementara destinasi utama adalah United Kingdom, Indonesia dan Kanada. - Bernama