Peguam dituduh pecah amanah lebih RM1.28 juta

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM1.28 juta, lima tahun lalu.

Kingsley Wambek, 40,membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai peguam di Firma Guaman Tetuan Kingsley & Co yang telah diamanahkan wang pembayaran pembelian tanah berjumlah RM945,950 melalui akaun bank firma guaman itu telah melakukan pecah amanah wang di firma itu di Taman Kerjasama Bukit Beruang antara 1 Julai sehingga 31 Julai 2016.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah diamanahkan dengan harta iaitu wang jualan rumah milik seorang individu berjumlah RM340, 000 dan telah melakukan pecah amanah di Tetuan Kingsley & Co di Taman Muzaffar Height antara 13 Julai sehingga 8 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad mencadangkan mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM20,000 bagi pertuduhan kedua selain menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Goh Chin Han.

Artikel Berkaitan:

Pada 8 Disember tahun lalu, Sinar Harian menyiarkan Polis Melaka memburu seorang peguam lelaki berusia 39 tahun yang terlibat dalam lima kes penipuan dan pecah amanah membabitkan urusan jualbeli hartanah bernilai kira-kira RM500,650.

Ketua Polis, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, peguam yang dikenali sebagai Kingsley Wambeck dan beralamat di Taman Megah Bukit Beruang dan Taman Muzaffar Height, Ayer Keroh itu didakwa menipu lima individu yang melantik suspek sebagai peguam bagi menguruskan proses penjualan serta pembelian hartanah.