X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Ummah, 175 NGO rayu Agong campur tangan

Sebahagian wakil NGO yang hadir pada penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pintu 3 Istana Negara pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama 175 badan bukan kerajaan (NGO) Islam menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon campur tangan Seri Paduka Baginda untuk menghentikan pertelingkahan antara pemimpin parti politik di negara ini.

Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, gabungan NGO itu memohon perkenan Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya semua pemimpin politik memberi keutamaan kepada nyawa rakyat yang sedang berdepan krisis pandemik Covid-19 dan bukan percaturan kuasa.

Menurutnya, gerakan itu kecewa kerana pemimpin politik terus sibuk berebut kuasa dalam keadaan negara sedang bergelut dengan peningkatan kes Covid-19 sehingga melebihi 20,000 sehari dengan kes kematian dalam lingkungan tiga angka.

"Seharusnya pada masa sekarang ini semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan Covid-19 dapat dibentuk, program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula," katanya.

Antara NGO yang bersama dalam kenyataan itu ialah Konfederasi NGO Kelantan (KNK), Sekretariat Kongres Rakyat 2.0, Pertubuhan Cakna Insan Muslimah Taiping, Yayasan Amal Malaysia, Muktamar Dakwah Malaysia dan Pertubuhan Kemajuan Ekonomi Rakyat Terengganu Darul Iman (Pekerti).

Bagaimanapun, gabungan NGO itu berkata, malangnya pemimpin politik lebih mengutamakan ego mereka yang berteraskan kepentingan kepartian dan kelompok bukannya kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri.

Kumpulan NGO itu juga berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini kerana akan menambahkan kecelaruan sedia ada.

"Seramai 32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamak kuasa," katanya.

Ujar kenyataan itu, tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!