Leeds bukan lawan mudah

SOLSKJAER
SOLSKJAER
A
A
A

MANCHESTER United akan memulakan misi memburu trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila turun menentang Leeds United di Old Trafford pada Sabtu.

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui perlawanan pembukaan merupakan perlawanan yang sangat penting dan para pemainnya perlu melakukan yang terbaik untuk meraih tiga mata pertama.

"Permulaan musim adalah sesuatu yang sangat penting. Prestasi kami di laman sendiri sangat teruk pada permulaan musim lalu.

"Untuk musim ini juga penyokong sudah boleh mula hadir ke stadium, ia berita yang baik buat pemain kerana sorakan penyokong akan memberikan tenaga kepada pemain.

Bagaimanapun, Solskjaer mengakui Leeds bukanlah lawan yang mudah apatah lagi skuad kendalian Marcelo Bielsa itu terkenal dengan keupayaan mengejutkan pasukan hebat.

"Ia peluang untuk setiap pasukan memulakan liga dengan baik dan kami juga mahu bermula dengan baik. Saya hanya fokus kepada perlawanan menentang Leeds dan kami telah melalui aksi pra musim dengan baik.

"Perlawanan menentang Leeds adalah sangat istimewa. Saya rasa semua orang yang pernah bermain dengan pasukan Bielsa itu tahu kemampuan mereka. Anda tidak boleh melakukan kesilapan untuk mendapatkan tiga mata.

"Secara fizikal dan taktikal, kami sudah bersedia untuk hari yang sukar ini. Selepas itu, barulah boleh menilai sama ada kami memulakan musim ini dengan baik atau tidak berbanding musim lepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

United turut menandatangani beberapa pemain yang berkualiti seperti Tom Heaton, Jadon Sancho dan Raphael Varane dalam usaha menamatkan kemarau trofi EPL selepas kali terakhir dimenangi mereka pada musim 2012/2013.