Peniaga patuh harga siling minyak masak botol

Abdul Yunus (kanan) bersama KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga minyak sawit botol di sebuah pasar raya di Taiping pada Jumaat.
Abdul Yunus (kanan) bersama KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga minyak sawit botol di sebuah pasar raya di Taiping pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - Tahap pematuhan peniaga di seluruh Perak memuaskan apabila tiada tindakan diambil sepanjang tempoh 11 hari pelaksanaan harga siling runcit minyak masak botol yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak terhadap 2,074 premis mendapati peniaga mematuhi harga minyak masak sawit tulen botol yang ditetapkan.

"Tiada tindakan kes telah diambil dan tiada aduan diterima berkaitan premis yang gagal mematuhi harga kawalan ini.

"Tahap pematuhan peniaga adalah memuaskan kerana mereka memahami tanggungjawab mereka dengan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan malah, kedudukan harga dan bekalan barangan keperluan adalah stabil dan mudah diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi walkabout pemantauan harga siling minyak sawit tulen botol di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, harga maksimum minyak masak sawit botol bersaiz 1 kilogram (kg) adalah RM6.70, 2 kg (RM12.70) dan 3 kg (RM18.70) dan 5 kg ditetapkan pada harga RM29.70.

Abdul Yunus berkata, pengguna juga diminta melaporkan sebarang keraguan terhadap penjualan minyak masak botol pada harga murah.

Katanya, KPDNHEP akan menyiasat bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual minyak masak kitar semula di pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan berhubung penjualan minyak masak kitar semula.

"Sekiranya pengguna menyedari ada pihak yang menjual minyak masak terlampau murah boleh membuat aduan di pejabat KPDNHEP berhampiran untuk kita siasat dan tindakan segera," katanya.

Abdul Yunus berkata, KPDNHEP telah mengeluarkan 58 kompaun berjumlah RM177,000 terhadap premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal serta premis yang beroperasi tanpa kebenaran.