Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua 2021

 Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap. Gambar hiasan
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMASKINI] Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 tahun ke tahun berbanding -0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap, kata Bank Negara Malaysia hari ini.

KDNK Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua tahun lepas berikutan langkah kawalan pergerakan yang dikuatkuasa bagi membendung penularan Covid-19 di dalam negara.

"Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah berkenaan," kata gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam satu kenyataan di sini.

Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua, namun kemudian menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa satu. Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.

Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama tahun ini, terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.

Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1 peratus pada suku kedua (S1 2021: 0.5 peratus) disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga bahan api serta luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik bertingkat.

Inflasi teras bagaimanapun terus stabil pada 0.7 peratus pada suku kedua tahun 2021 (S1 2021: 0.7 peratus) Gabenor berkata, pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua (S1 2021: 4.7 peratus).

Artikel Berkaitan:

Pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana kepada 3.6 peratus, manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 6.9 peratus.

"Pinjaman perniagaan terkumpul mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.3 peratus berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman berkaitan pelaburan.

'’Bagaimanapun, pertumbuhan modal kerja terkumpul meningkat pada suku berkenaan. Bagi isi rumah, permintaan terhadap pinjaman terus menggalakkan terutamanya bagi pembelian hartanah kediaman," katanya.

Menyentuh mengenai mata wang, beliau berkata, ringgit menambah nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun 2021.

Penambahan nilai ini sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai dolar AS yang semakin lemah pada awal suku kedua berikutan penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS benar yang menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang memberikan kadar hasil yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, jangkaan terhadap dasar monetari kembali ke paras yang wajar pada kadar yang lebih cepat berikutan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada bulan Jun, telah menyebabkan pelabur mengimbangi semula portfolio mereka kepada aset dalam denominasi dolar AS pada akhir suku kedua".

Sejak 1 Julai, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.7 peratus berbanding dengan dolar AS (setakat 9 Ogos).

Penyusutan ini sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh.

Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara, jelasnya. - Bernama