Perak kaji perketat SOP 'dine-in'

A
A
A

KAMPAR - Kerajaan negeri Perak sedang mengkaji keperluan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung makan di restoran atau 'dine-in'.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kajian itu mengambil kira keperluan dan kehendak semasa agar dapat disesuaikan dengan situasi Covid-19 di Perak.

Menurutnya, ketetapan MKN ketika ini yang tidak mensyaratkan pekerja premis perlu mempunyai vaksinasi lengkap menjadi cabaran kepada kerajaan negeri dalam mengawal penularan kes.

"Setakat ini Perak belum membuat sebarang ketetapan khusus berhubung perkara ini dan pengendalian SOP premis makanan adalah mengikut syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

"Bagaimanapun, kita merasakan perlu untuk mengkaji semula ketetapan MKN itu sama ada memperketatkan syarat atau sebagainya. Ia masih dalam kajian dan kita akan lihat secara menyeluruh mengikut keperluan bergantung kepada kes Covid-19 di negeri ini," katanya selepas menyempurnakan pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Negeri Perak peringkat daerah Kampar di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini pada Jumaat.

Nolee Ashilin berkata, berdasarkan pemantauan empat hari kebelakangan ini, orang ramai cukup teruja untuk makan di restoran, namun masih terdapat premis makanan tidak membenarkan makan di restoran kerana pekerja mereka belum menerima vaksinasi lengkap.

"Itu risiko, kita ada kelonggaran dalam SOP tetapi tidak bermaksud kita mengambil kelonggaran itu tanpa rasa tanggungjawab. Tanggungjawab itu kita serahkan juga kepada pelanggan untuk berhati-hati memilih lokasi dikunjungi," ujarnya.

Beliau berkata, di bawah Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara, kerajaan negeri akan menggesa pemberian vaksin Covid-19 dipercepatkan kepada semua operator premis makanan.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana pekerja yang belum menerima vaksin, kita akan menggesa mereka untuk mendapatkannya di bawah MOVAK. Program ini belum bermula di Perak, Insya-ALLAH kita akan umumkan secepat mungkin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah itu berkata, kadar vaksinasi di daerah Kampar ketika ini sudah mencapai 64 peratus bagi dos pertama dan 35 peratus bagi individu lengkap dua dos.

"Ini satu pencapaian yang sangat bagus. Kemudahan dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing di Pusat Kesihatan Kemas Gopeng dan UTAR (pandu lalu) telah membantu mempercepatkan proses vaksinasi sehingga mencapai 1,600 orang sehari," katanya.