X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

JAS guna dron haba kesan kebakaran terbuka di Johan Setia

Kebakaran belukar di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu setempat di kawasan sekitar sejak Julai lalu.
A
A

KLANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggunakan teknologi dron haba bagi mengesan pembakaran terbuka pada waktu malam di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di sini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, keputusan tersebut dibuat ketika Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar bagi membincangkan solusi isu dan tindakan agensi bagi menangani masalah pembakaran terbuka di kawasan tersebut.

Menurutnya, kebanyakan kawasan dalam negara mengalami cuaca panas dan kering disebabkan bilangan taburan hujan yang rendah berikutan musim monsun barat daya yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan September.

Loy Sian berkata, terdapat beberapa insiden kebakaran belukar di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia yang menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu setempat di kawasan sekitar dari 18 hingga 29 Julai lalu.

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian

“Kerajaan Selangor melalui JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut bagi pelaksanaan langkah pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka di kawasan itu.

“Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang melaksanakan program pemutihan melalui proses bancian yang dijalankan bagi membasmi aktiviti pembakaran terbuka, pelupusan sampah haram dan penerokaan haram di tanah rizab kerajaan iaitu talian rentis serta rizab simpanan jalan dan parit.

“Anggota dari Jabatan Sukarelawan Negara (Rela) turut sama melaksanakan pemantauan harian di kawasan Johan Setia dan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, kertas cadangan bagi pembinaan menara tinjau untuk mengesan pembakaran terbuka di Johan Setia akan disediakan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, manakala Jabatan Pertanian akan melaksanakan Program Pengurusan Tanah Lestari kepada petani-petani yang berdaftar di bawah jabatan tersebut.

Ujarnya, pasukan bomba sukarela di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Johan Setia akan diperkasakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat rondaan serta tangkapan terhadap petani-petani yang tidak bertanggungjawab.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk melaksanakan Operasi Bersepadu Membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Johan Setia secara berkala dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah.

“Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!