Majlis Presiden PH ulangi pendirian sokong Anwar jadi PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR- Majlis Presiden Pakatan Harapan sekali lagi mengulangi pendirian untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat, menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon PM untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.

“Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," jelas kenyataan itu.

Tambahnya, Pakatan Harapan juga tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemik Covid-19 memuncak.

“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.

“Ini supaya sebarang pengambilalihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik dan institusi kehakiman yang bebas," tambah kenyataan itu lagi.

Parlimen tergantung adalah situasi di mana parti politik tertentu atau gabungan sedia ada tidak mempunyai majoriti mutlak dalam Parlimen atau badan perundangan lain.

Situasi ini juga dikenali sebagai parlimen seimbang iaitu walaupun tidak lazim atau tiada kawalan keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Undi percaya adalah antara cara menentukan kepercayaan ahli Dewan kepada Perdana Menteri atau kerajaan dan ia mempunyai beberapa tujuan.

Tujuan undi percaya ialah untuk mendapatkan kepastian bahawa Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Di negara kita, amalan mendapatkan undi percaya ini dibuat ketika Perdana Menteri baharu mengambil jawatan tanpa melalui pilihan raya. Amalan ini walau bagaimanapun tidak didapati dalam bentuk undang-undang bertulis.

Sekiranya Perdana Menteri gagal mendapat undi percaya, ia boleh ditafsir sebagai undi tidak percaya. Ini sekali gus menunjukkan undi percaya mempunyai kesan ke atas kedudukan kerajaan.

Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan supaya hanya seseorang yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat boleh dilantik sebagai Perdana Menteri - Perkara 43(2)(a). - Awani