X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Sanusi diminta bersikap terbuka

Muhammad Sanusi
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diminta bersikap terbuka dengan membenarkan rakyat bersuara dan berlapang dada menerima segala komen atau kritikan terhadap dirinya.

Ketua DAPSY Kedah, Tan Kim Ping berkata, pihaknya terkejut dengan penahanan empat individu bagi membantu siasatan atas dakwaan menghina Muhammad Sanusi melalui media sosial sebelum ini.

Katanya, penahanan dan siasatan ke atas beberapa individu tersebut disifatkan tidak wajar ketika Kedah sedang bergelut dengan jangkitan Covid-19 yang menjangkau 2,000 kes sehari.

"Komen dan kritikan terhadap Menteri Besar Kedah itu adalah berpunca daripada gurauan beliau sendiri ketika menjawab soalan media berkaitan dengan kontena jenazah pesakit Covid-19.

"Mereka yang ditahan hanya menyuarakan kesedihan dan kemarahan terhadap kenyataan Muhammad Sanusi yang dirasakan tidak sensitif seolah-olah mempersendakan kesedihan keluarga pesakit yang sedang melawan Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kim Ping berkata, pihaknya menasihatkan Muhammad Sanusi yang merupakan pemimpin utama Kedah untuk berfikir terlebih dahulu baik ataupun buruk sesuatu perkara sebelum membuka mulut membicarakannya.

Katanya, Muhammad Sanusi diharap tidak mengulangi ketelanjuran kata-kata seumpama itu hingga melukai hati rakyat.

Tambah beliau, seharusnya Muhammad Sanusi meletakkan soal kehidupan dan ekonomi rakyat Kedah yang terkesan sebagai agenda utama kerajaan bukannya memperbesarkan soal peribadinya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap agar tidak ada sebarang tangkapan lagi dibuat berkait isu selepas ini dan mereka yang masih ditahan juga perlu dibebaskan segera.

"Kami juga mengajak orang ramai untuk bersolidariti kepada mereka yang telah ditahan," katanya.

Mengikut rekod, setakat ini, seramai empat individu telah ditahan dan seorang individu direkodkan keterangan berhubung isu komen jelik terhadap Muhammad Sanusi di media sosial.

Pada Isnin, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun ditahan pada jam 3.57 pagi di sebuah rumah di Lenggeng, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan berhubung video yang didakwa sengaja mengaibkan Menteri Besar Kedah dan boleh membawa kepada perpecahan keamanan.

Dua lagi individu masing-masing berusia 45 dan 52 tahun ditahan bagi membantu siasatan kerana memuat naik kata-kata kesat terhadap pemimpin utama kerajaan negeri itu pada petang hari sama.

Pada Selasa, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun ditahan di Taiping, Perak setelah dikesan menghantar pesanan melalui aplikasi 'Messenger' di laman Facebook Muhammad Sanusi dengan kata-kata berbaur ugutan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohammad Yusoff turut dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada Rabu berhubung satu komen mengkritik Muhammad Sanusi di status Facebook miliknya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!