Pesara kerajaan ditahan sekongkol rasuah dengan Datuk Bandar

Seorang bekas penjawat awam ditahan SPRM kerana dipercayai bersekongkol dengan Datuk Bandar di sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Seorang bekas penjawat awam ditahan SPRM kerana dipercayai bersekongkol dengan Datuk Bandar di sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai bersekongkol dengan Datuk Bandar di sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada jam 9 malam Khamis untuk membantu siasatan.

Menurut kenyataan tersebut, lelaki itu dipercayai bertindak selaku orang tengah antara Datuk Bandar dengan pihak kontraktor.

"Hasil siasatan mendapati lelaki ini bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan.

"Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan mereka bagi projek yang dikeluarkan PBT dalam tahun 2020 dan 2021," jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas lelaki tersebut akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, seorang Datuk Bandar direman tiga hari bagi siasatan kesalahan menerima rasuah.