Newsfeedmedia berjaya cipta jenama

Norzira (tujuh dari kanan) bersama klien, pengasas tudung bawal anti kedut FAREHA, Nurul Fareha Anuar.
Norzira (tujuh dari kanan) bersama klien, pengasas tudung bawal anti kedut FAREHA, Nurul Fareha Anuar.
A
A
A

MESKIPUN tidak sampai dua tahun bertapak, syarikat agensi pengiklanan, penjenamaan dan pemasaran, Mediakey Group Sdn Bhd (Newsfeedmedia) bukan sahaja telah berjaya mencipta nama mereka sendiri, bahkan telah membantu lebih 300 syarikat lain membina jenama dan meningkatkan jualan perniagaan.

Pencapaian itu memberi manfaat besar buat peniaga-peniaga yang berdepan cabaran ketika pandemik Covid-19 melanda dunia ketika ini.

Syarikat yang turut bertindak sebagai penasihat pemasaran ini diusahakan bersama oleh pasangan suami isteri yang sebelum ini mempunyai bidang kerjaya masing-masing namun memilih untuk membangunkan syarikat ini bersama dengan matlamat membantu lebih ramai usahawan dan peniaga mengembangkan lagi potensi produk.

Berkongsi kisah, Ketua Pegawai Eksekutif Newsfeedmedia, Norzira Syarini Mohammed Pauzi berkata, syarikatnya didaftarkan sejak Januari 2020 ketika beliau berdepan situasi sukar setelah diberhentikan kerja berikutan syarikat sebelum ini bertindak mengurangkan kakitangan.

Katanya, keadaan ketika itu agak mendesak kerana komitmen bulanan yang tinggi dan akhirnya idea operasi syarikat tercetus setelah mengambil kira pengalaman selama 12 tahun dalam bidang media.

“Sebelum ini saya biasa dengan kerja-kerja melibatkan liputan media dan pemasaran. Jadi saya fikir mengapa tidak saya menggunakan pengalaman untuk jadikannya lebih serius.

“Alhamdulillah berbekalkan pengalaman yang ada, meskipun baru setahun lapan bulan beroperasi, sehingga kini, syarikat kami yang mempunyai 15 orang ‘team’ pemasaran telah berjaya mendapat kepercayaan dengan nilai RM15 juta transaksi.

Artikel Berkaitan:

Norzira dan Mohd Afiq kini meneraju Newsfeedmedia bagi membantu golongan usahawan dan peniaga mengukuhkan jenama
di pasaran.
Norzira dan Mohd Afiq kini meneraju Newsfeedmedia bagi membantu golongan usahawan dan peniaga mengukuhkan jenama di pasaran.

“Apa yang penting adalah bagaimana kami berjaya membantu pelanggan-pelanggan yang mendapatkan khidmat pengiklanan ini menjana jualan berlipat kali ganda daripada modal pemasaran yang dikeluarkan,” katanya.

Norzira berkata, Newsfeedmedia memberi fokus kepada pemasaran luar talian yang mempunyai potensi lebih meyakinkan pelanggan berbanding pemasaran dalam talian.

Beliau berkata, Newsfeedmedia merupakan syarikat yang berdaftar di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta semua stesen televisyen, radio, akhbar dan semua medium pengiklanan secara luar talian (offline).

“Dengan pemasaran luar talian, pelanggan mampu memperolehi kepercayaan luar biasa. Platform ini juga meningkatkan kredibiliti jenama kerana mampu mencipta jenama apabila dipaparkan di media-media arus perdana.

“Melalui pemasaran luar talian ini, kesahihan tentang produk ditawarkan pelanggan ini akan lebih jelas dan meyakinkan pelanggan mereka,” katanya.

Kejayaan pelanggan jadi kepuasan

Norzira yang juga menjadi antara 100 Penerima Anugerah CEO Muda Terbaik dalam Media dan Industri Pengiklanan 2020 turut berkongsi bagaimana pelanggannya yang mempunyai produk diusahakan di luar bandar mampu meningkatkan potensi jualan setelah mendapatkan khidmat syarikatnya.

“Saya tidak akan lupa ketika membantu seorang pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari kampung yang berusaha kumpul modal untuk pemasaran di televisyen, akhirnya impak daripada itu produknya dikenali dan mendapat permintaan yang tinggi. Pengusaha itu datang peluk saya dan menangis kerana pencapaian itu,” katanya.

Kerana itu, katanya, syarikatnya sedia membantu usahawan baharu bahkan menawarkan khidmat nasihat percuma sebelum pengiklanan dijalankan.

Newsfeedmedia mendapat kepercayaan pelanggan dengan jumlah transaksi yang besar dalam usaha memasarkan jenama secara pemasaran luar talian.
Newsfeedmedia mendapat kepercayaan pelanggan dengan jumlah transaksi yang besar dalam usaha memasarkan jenama secara pemasaran luar talian.

“Kami akan memberi nasihat dan strategi kepada mereka ini agar lebih bersedia sebelum membuat pemasaran. Kami akan pastikan pelanggan berupaya memenuhi permintaan impak daripada pemasaran, kerana ini akan membantu mereka meningkatkan jualan,” katanya.

Norzira berkata, ada pelanggannya yang berjaya menjana hasil jualan tahunan sehingga RM180 juta pada tahun lalu.

Suaminya yang juga Pengarah Urusan Mediakey Group Sdn Bhd, Mohd Afiq Abu Hasan berkata, pihaknya sedar pandemik Covid-19 yang sedang berlaku kini menjejaskan begitu ramai usahawan dan peniaga.

Namun beliau juga percaya bahawa golongan usahawan yang terus membuat pemasaran ketika krisis ini mempunyai potensi kejayaan yang luar biasa.

Mengenai sasaran jangka panjang syarikatnya, bekas jurutera ini berkata beliau mahu meletakkan Newsfeedmedia sebagai pakar dalam pengiklanan luar talian seterusnya mengembangkan lagi potensi syarikat dengan menyediakan kemudahan lengkap sebagai agensi pengiklanan ‘one stop center’.

“Kami juga tidak pernah berhenti belajar untuk perbaiki lagi pengetahuan dalam bidang ini. Kami mahu jadikan perniagaan ini sebagai satu legasi yang boleh diwarisi, mempunyai cawangan di setiap negeri dan wisma yang lengkap dengan kemudahan semua jenis pengiklanan,” katanya.