X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19

Zubaidah bersama produk kek mufin
A
A
SHAH ALAM - Pasangan warga emas sebagai pengusaha kek mufin secara offline menarik nafas lega dapat bantuan program Talian Jiwa Episod 4 yang bersiaran di Astro Oasis, 5 Ogos lalu.

Pengusaha Mddom Kek, Zubaidah Tumpang, 60, dan suaminya, Md Dom Said, 67, dari Taman Desa Molek, Ayer Molek, Melaka, menerima sumbangan RM2,500 bagi menampung keperluan kehidupan dan perniagaannya.

“Kami menjalankan perniagaan kek mufin sebagai sumber rezeki keluarga sejak 10 tahun lalu. Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 sejak Mac 2021, perniagaan kami terjejas. Sebelum ini, kami memperoleh pendapatan RM2,000, kini RM200 sebulan.

“Sumbangan RM2,500 melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Talian Jiwa mampu meringankan beban kami dalam sebulan. Kami telah menggunakan duit sumbangan tersebut sebagai modal perniagaan kek mufin dan membayar bil elektrik dan air.”

Sebelum ini, beliau ada pembantu untuk membuat kek paun dan kek mufin marble, coklat, jagung, strawberi dan oren di rumah. Manakala suami beliau menghantar kepada pelanggan di Melaka dan Johor. Perniagaan mereka merudum apabila kurang permintaan, banyak kedai tutup dan tiada lagi majlis kenduri kahwin sepanjang PKP.

“Pada masa sama, kami mengalami tunggakan hutang sewa kilang buat kek sebanyak RM28,000. Kesan PKP, perniagaan kami dijalankan di rumah. Kami tidak pandai gunakan media sosial untuk mempromosikan produk. Jadi kami perlu teruskan apa yang boleh untuk menampung sara hidup kami berdua yang semakin berusia,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan Talian Jiwa, suri rumah, Juankatun bt Ferosah atau lebih dikenali Norsiah, 64 dari Pulau Pinang terkesan dengan kehilangan sumber pendapatan anaknya, Abdul Razi bin Abdul Razali, 45.

Beliau bergantung harap dengan anak yang berniaga pakaian terpakai semenjak arwah suaminya meninggal dunia pada 2017. Ditambah dengan masalah kesihatan diri seperti darah tinggi, gastrik dan sakit lutut yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas.

“Kesan pandemik Covid-19, anak saya terpaksa tutup kedai pakaian terpakai kerana tidak mampu bayar sewa. Kini 60 peratus pakaian yang terbiar di rumah menjadi rosak. Jika anak dapat jual sehelai dua, itulah yang menyara perbelanjaan harian pada hari tersebut.

“Duit sumbangan sebanyak RM2,500 menjadi simpanan bagi bayaran hutang khidmat penyelenggaraan kutipan sampah RM16,000 di flat tempat kami tinggal. Saya juga masih berhutang dengan adik beradik sebanyak RM3,000. Ini menambahkan beban kami yang tiada sumber pendapatan,” katanya.

Orang ramai yang ini menghulurkan bantuan dan sumbangan, boleh salurkan kepada Md Dom Said, Bank Muamalat 04010036241724 ; dan Norsiah @ Juankatun Ferosah, Maybank 1415441100003325.

Program Talian Jiwa bersiaran di Astro Oasis setiap Khamis jam 6 petang. Program tersebut dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Astro Oasis dan Sinar Harian bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 dengan berpandukan al-Quran dan Hadis. Mereka yang perlukan bantuan, boleh daftar di https://bit.ly/PenerimaBantuanTV2021


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!