Tun Ariffin ketuai RCI siasat isu pemerdagangan manusia

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria akan mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ariffin akan dibantu oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai serta enam anggota suruhanjaya itu yang sudah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin berkata beliau akan bertemu dengan semua anggota RCI di kementeriannya pada minggu depan bagi menyerahkan surat lantikan dan mereka akan diberikan taklimat berhubung isu Wang Kelian.

"Daripada situ, mereka boleh memulakan kerja mereka. Tempoh yang kita berikan (kepada mereka) adalah enam bulan untuk menyiapkan laporan, dan ia (laporan) akan dibentangkan kepada Kementerian.

"Kita akan meneliti apakah hasil laporan RCI itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali kedua di sini hari ini.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin mengumumkan kerajaan akan menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian agar keadilan perlu ditegakkan serta orang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu harus dipertanggungjawabkan.

Pada Mei 2015, polis mengumumkan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit sempadan negara di kawasan berbukit di Wang Kelian. - Bernama

Artikel Berkaitan: