Pembukaan sekolah: Jangan risikokan keselamatan pelajar

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya mempertimbangkan semula pembukaan sekolah secara bersemuka yang dijadualkan pada September ini kerana ia berisiko untuk mendedahkan pelajar dan murid kepada jangkitan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jaminan KPM untuk memastikan pemberian vaksin kepada guru dan mereka yang terlibat sebelum sekolah dibuka masih tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan pelajar.

Jelasnya, ini kerana pelajar ketika ini masih belum mendapatkan sebarang vaksinasi Covid-19 manakala data pula turut membuktikan bahawa remaja dan kanak-kanak sangat berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

“Mengikut data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, bermula dari 25 Januari 2020 (kes pertama COVID-19 direkodkan di Malaysia) sehingga 11 Ogos 2021, seramai lebih kurang 233,497 orang remaja dan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah telah dijangkiti COVID-19.

“Jumlah ini adalah bersamaan dengan 17.6 peratus daripada keseluruhan kes yang telah direkodkan. Ini jelas membuktikan golongan remaja dan kanak-kanak ini antara golongan yang sangat berisiko.

“Tambahan pula tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kalangan kanak-kanak ini susah untuk kita pantau sepenuhnya terutama apabila berada di luar kawasan sekolah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelebu berkata, dengan mengambil kira tempoh pembelajaran yang berbaki beberapa minggu sahaja lagi pada 2021, KPM sewajarnya mempertimbangkan semula waktu pembukaan sekolah tersebut.

“Jangan letakkan anak-anak kita berada dalam keadaan bahaya. Ibu bapa juga pasti akan dalam dilema sama ada hendak menghantar atau tidak anak-anak ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini wajar untuk diteruskan sehingga keadaan menjadi lebih stabil.

“Sesi persekolahan secara bersemuka ini mungkin boleh dibuat bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM 2021 sahaja. Itupun harus dipertimbangkan dengan teliti dengan mengambil kira keadaan semasa,” ujarnya.