Tidak salah tukar arus perniagaan

Mohar Yusof
Mohar Yusof
A
A
A

SHAH ALAM – Pengarah Inovasi Akademik UNIRAZAK, Profesor Dr Mohar Yusof menegaskan tidak salah untuk menukar arus sesebuah perniagaan.

Menurutnya, ini disebabkan sesebuah perniagaan itu terlebih dahulu bermula dengan sesuatu produk, perkhidmatan atau solusi.

“Tetapi produk, perkhidmatan atau solusi itu perlu relevan kepada pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian edisi ke-280 bertajuk ‘Cabaran Legasi Perniagaan Keluarga’ pada Khamis.

Wacana tersebut turut menampilkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin dan Ketua Pegawai Eksekutif BinaPavo, Dr Leilanie Mohd Nor, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Ismail sebelum itu bertanyakan adakah salah menukar arus perniagaan seperti perniagaan Toyota yang pada asalnya merupakan perniagaan tekstil kemudian ditukar kepada perniagaan automatif oleh generasi seterusnya.

Mengulas lanjut, Mohar berkata, apa yang penting di dalam perniagaan adalah inovasi dan ianya boleh dilihat kepada tiga perspektif.

“Satu, pembentukan dan penciptaan produk, perkhidmatan atau solusi baharu. Contohnya seperti telefon pintar dan aplikasi mesej seperti WhatsApp serta Telegram juga merupakan inovasi.

Artikel Berkaitan:

“Perspektif kedua adalah cara, kaedah atau pendekatan baharu dan berbeza. Di mana sesebuah perniagaan itu perlu berbeza dengan perniagaan lain. Baru ia mampu untuk berdaya saing.

“Sekiranya kita mengambil contoh Toyota, mungkin pada peringkat generasi kedua merasakan untuk berdaya saing atau berdaya tahan maka mereka perlu berinovasi serta mengubah haluan,” jelasnya.

Mohar menambah, tidak semestinya generasi penerus mengetepikan apa yang telah bermula sejak awal sebaliknya tindakan yang mereka lakukan adalah mempelbagaikan.

“Yang ketiga adalah melibatkan perubahan iaitu transformasi. Inovasi dalam bentuk transformasi ini boleh berbentuk penambahbaikan,” katanya.