PNM umum senarai penerima Anugerah Pembaca Aktif Kebangsaan 2020

Datuk Seri Nancy Shukri
Datuk Seri Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini mengumumkan senarai pelbagai kategori penerima Anugerah Pembaca Aktif Kebangsaan 2020 yang dianjurkan sempena Program Negara Membaca dan Gerakan Dekad Membaca Kebangsaan.

Kenyataan PNM memaklumkan, Kategori Kanak-Kanak dimenangi Nur Alyaa Aizuan,10, dari Balik Pulau, Pulau Pinang yang merekodkan pinjaman buku sebanyak 614 naskhah manakala Kategori Remaja dimenangi Nuraida Ali Hassan,15, dari Batu Kurau, Perak dengan pinjaman buku sebanyak 244 naskhah.

“Kategori Dewasa dimenangi Noraini Arshad, 41, dari Padang Besar, Perlis dengan pinjaman sebanyak 386 naskhah.

“Kategori Orang Kurang Upaya pula dimenangi Nor Saparina Zuki, 40, dari Batu Kurau, Perak dengan pinjaman buku sebanyak 231 naskhah manakala Kategori Pinjaman Buku Secara Berkelompok dimenangi Perpustakaan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Selangor dengan 809 naskhah pinjaman,” menurut kenyataan itu.

PNM berkata, program penganugerahan kepada pemenang melalui PNM TV Channel itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada Khamis.

Nancy berkata, penganjuran anugerah itu adalah bagi mengiktiraf pembaca yang paling banyak membuat pinjaman buku di peringkat kebangsaan sekali gus menjadi pendorong kepada mereka untuk meminjam bahan-bahan perpustakaan.

Beliau berkata, statistik 2020 PNM menunjukkan sebanyak 5.4 juta naskhah bahan perpustakaan telah dipinjam di Perpustakaan Awam Negeri, Perpustakaan Desa, Perpustakaan Komuniti termasuk PNM merangkumi pinjaman bahan fizikal serta bahan digital atau e-buku. - Bernama

Artikel Berkaitan: