Dua pemain negara terlepas pramusim di Jerman

Amrul Hazarin
Amrul Hazarin
A
A
A

DUA daripada tiga pemain skuad ragbi 15 sepasukan (15's) negara yang ditawarkan beraksi di Liga Ragbi Divisyen Satu Jerman mungkin terpaksa melupakan hasrat menyertai pasukan lebih awal menjelang saingan yang dijadual bermula 4 September.

Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon berkata, ini kerana kedua-dua pemain berkenaan perlu menunggu sehingga melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan vaksin Covid-19 dos kedua sebelum dibenar berangkat ke Jerman.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menunggu surat kebenaran keluar negara dari Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kalau perlu dilakukan sesuatu oleh kami (KRM) untuk pastikan mereka dapat berangkat awal iaitu dengan mempercepatkan tarikh suntikan dos kedua, kita akan cuba. KRM akan berusaha untuk membantu mereka ke sana," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Amrul Hazarin berkata, kedua-dua pemain itu dijadual mendapat suntikan dos kedua vaksin Covid-19 pada 19 Ogos sekali gus menyaksikan mereka hanya boleh keluar negara seawal 3 September.

Pada Rabu, KRM mengumumkan tiga pemainnya iaitu Mohamad Amin Jamaluddin, Noor Alif Ikhmal Noor Hisham dan Samuel Rentap Meran ditawarkan beraksi bersama kelab TV 1834 Pforzheim bagi musim 2021/22.

Kelab itu turut menamakan ketiga-tiga pemain negara untuk menyertai sesi latihan pramusim selain beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum saingan liga bermula.

Amrul Hazarin, berkata surat tawaran itu diterima KRM pada 30 Julai lepas dan ia memberi peluang kepada pemain negara untuk terus beraksi dalam tempoh pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya bouncer (nama panggilan Mohamad Amin) dan Alif sudah beraksi di sana sebelum ini tapi mereka terpaksa balik selepas liga terhenti. Ia satu peluang yang bagus untuk terus bermain, dengan keadaan sekarang kita pun tidak tahu bila kejohanan di Malaysia dapat dijalankan," katanya.

Amrul Hazarin berkata, menurut surat tawaran itu, ketiga-tiga pemain negara sepatutnya dikehendaki melapor diri pada 20 Ogos ini. - Bernama

TAG: ragbi, KRM, Liga Ragbi Divisyen Satu Jerman, TV 1834 Pforzheim