Tak sabar berentap idola di Paralimpik Tokyo 2020

Nur Syaiful
Nur Syaiful
A
A
A

PERENANG para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak sabar bertemu dan berentap dengan idolanya, Daniel Dias dari Brazil pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, yang dijadual dari 24 Ogos hingga 5 September depan.

Muhammad Nur Syaiful yang bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Paralimpik melahirkan rasa terujanya beraksi di Tokyo kerana ini mungkin peluang terakhir beraksi bersama Daniel yang dikhabarkan bakal bersara selepas temasya di Jepun itu.

Atlet kelahiran Sarawak itu dijangka beraksi dalam kategori S5 (cacat anggota) bagi acara 50 meter (m), 100m dan 200m gaya bebas dan 100m kuak dada.

Daniel merupakan antara perenang para terbaik dunia apabila meraih sejumlah 24 pingat Sukan Paralimpik setakat ini dalam tiga temasya yang disertainya sebelum ini.

Perenang berusia 25 tahun dari Bumi Kenyalang itu percaya beliau yang sudah bersedia 100 peratus dari segi mental serta fizikal, dan mampu melakar kejutan pada saingan di Pusat Akuatik Tokyo itu nanti.

"Saya dah jumpa teknik, rentak saya pada masa ini dan stamina saya juga sudah berada pada tahap terbaik setakat ini. Insya-Allah, saya akan buat kejutan di Tokyo nanti," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau pada masa sama sedikit terkilan apabila tidak dapat menjalani latihan ujian masa di Berlin, Jerman susulan pandemik Covid-19 serta perintah kawalan pergerakan yang masih dilaksanakan di dalam negara ketika ini.

Sukan Paralimpik Tokyo menyaksikan seramai 22 atlet para bakal menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan disertai negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: