PDRM digesa waspada wujud sindiket jual sijil digital vaksinasi

Hanya sijil vaksinasi yang dikeluarkan menerusi MySejahtera diiktiraf kerajaan.
Hanya sijil vaksinasi yang dikeluarkan menerusi MySejahtera diiktiraf kerajaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa berwaspada dengan kemungkinan wujudnya pihak yang ingin mengaut keuntungan dengan cara menjual sijil digital vaksinasi palsu secara dalam talian.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar berkata, hingga kini kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang sijil secara fizikal bagi membuktikan mana-mana orang awam sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Beliau berkata, PDRM perlu berwaspada dalam memperketat pemeriksaan dengan meneliti akaun MySejahtera orang awam supaya bertepatan dengan kad pengenalan dipaparkan.

“Polis juga perlu memastikan orang awam tidak hanya sekadar tangkap layar sijil digital vaksinasi mereka bagi mengelakkan penyalahgunaan sijil digital itu," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Akhbar turut menggesa agensi penguat kuasa supaya lebih ke hadapan dalam mengesan kebarangkalian akaun MySejahtera digodam untuk mendapatkan sijil digital vaksin palsu menerusi telefon bimbit.

“Pihak PDRM diminta untuk lebih proaktif memantau mana-mana ‘dark web’ yang mungkin menjurus kepada unsur penggodaman akaun MySejahtera supaya maklumat awal boleh diperoleh.

“Kerajaan juga perlu mengambil berat mengenai kemungkinan orang luar yang memasuki negara ini sama ada negara mereka benar-benar menyediakan sijil digital vaksinasi secara fizikal kerana didapati terdapat aktiviti penjualan sijil itu secara tidak sah di ‘dark web’,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan setakat ini hanya satu laporan diterima pihaknya berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Laporan polis dibuat berdasarkan khabar angin dan polis tidak menerima apa-apa laporan berkaitan pemilikan atau penjualan sijil digital vaksinasi palsu.

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana memberikan maklumat palsu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan lain-lain," katanya ketika dihubungi pada Khamis. - Bernama