Cari solusi masalah sistem pendidikan: Raja Muda Selangor

Tengku Amir Shah - Foto internet
Tengku Amir Shah - Foto internet
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menerima hakikat wujudnya kegagalan dalam sistem pendidikan dan peningkatan masalah kesihatan mental ketika Covid-19 melanda negara dengan mengenal pasti punca dan menyediakan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bertitah, semua pihak perlu melihat kemelut yang melanda negara kini sebagai satu cabaran dengan tidak mengalah dalam menghadapi pandemik ini.

Baginda yang juga salah seorang ahli panel dalam webinar 'Youth and Leadership: In Achieving The Sustainable Development Goals (SDGs)' bertitah, pembelajaran di rumah juga perlu seimbang dengan komitmen penuh ibu bapa bagi memastikan pelajar tidak terus tercicir dalam pelajaran.

“Sistem pendidikan terdahulu membuatkan ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik anak kepada guru-guru, jadi bila Covid-19 melanda, tanggungjawab tersebut kembali kepada mereka.

“Kita perlu bekerjasama dengan semua pihak untuk menyediakan penyelesaian kepada masalah yang berlaku dan tidak bergantung kepada kerajaan atau masyarakat dengan memberikan pendapat secara sehala,” titahnya dalam webinar tersebut pada Khamis.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah bahawa sekolah merupakan tempat terbaik untuk para pelajar mengasah bakat kepimpinan pada usia muda.

Titah baginda, golongan tersebut wajar diberikan platform dan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kepimpinan kerana ciri tersebut bukan sesuatu yang diperoleh sejak lahir.

“Belia perlu ambil peluang belajar kepimpinan di bangku sekolah dan tidak perlu risau jika gagal pada peringkat tersebut kerana ia bukan ciri yang ada sejak lahir, tapi ia perlu dicuba,” titahnya.

Artikel Berkaitan:

Webinar 'Youth and Leadership: In Achieving The Sustainable Development Goals (SDGs)' anjuran Selangor Youth Community (Say) membincangkan tentang isu-isu berkaitan pembangunan dan pemerkasaan golongan belia masa kini, terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Hadir sama sebagai ahli panel dalam webinar tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Corporation, Jalil Rasheed dan Peguam Bela Hak Sosial, Heidy Quah.