Covid-19: Sarawak catat kes harian tertinggi dengan 1,216 kes

Sarawak pada Khamis merekodkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini dengan 1,216 kes, yang menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini menjangkau 84,603 kes.
Sarawak pada Khamis merekodkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini dengan 1,216 kes, yang menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini menjangkau 84,603 kes.
A
A
A

KUCHING - Sarawak pada Khamis merekodkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini dengan 1,216 kes, yang menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini menjangkau 84,603 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan antara kawasan yang mencatatkan kes yang tinggi adalah Kuching dengan 618 kes, diikuti dengan Serian (223), Bau (116) dan Samarahan (77).

Menurutnya, 1,019 kes iaitu 83.80 peratus daripada kes baharu pada Khamis berada dalam kategori satu (tiada gejala) dan 194 kes iaitu 15.95 peratus kategori dua (gejala ringan).

“Selain itu, dua kes iaitu 0.17 peratus dalam kategori tiga (jangkitan paru-paru) dan satu kes iaitu 0.08 peratus kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator),” menurut kenyataan itu.

Kes harian baharu Covid-19 tertinggi pernah direkodkan sebelum ini adalah 960 kes pada 16 April.

JPBN turut memaklumkan, pada Khamis juga terdapat 735 kes yang telah pulih, 8,147 kes masih aktif dan dua kematian baharu direkodkan menjadikan angka keseluruhan kematian akibat pandemik kini berjumlah 477 orang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed dalam kenyataan berasingan berkata, jumlah kes harian baharu Covid-19 tinggi itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk aktiviti berkumpul secara sosial serta bersama keluarga.

Beliau berkata, selain itu aktiviti sukan berkumpulan, mesyuarat secara fizikal serta jangkitan di tempat kerja juga menjadi antara punca peningkatan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, terdapat juga majikan yang masih enggan membenarkan pekerja mereka menjalani saringan atau bekerja dari rumah apabila mereka mempunyai gejala sehingga tercetusnya kluster di tempat kerja,” katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai di Sarawak agar kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting, jangan mengunjungi keluarga, jiran atau rakan tanpa tujuan, dan jangan membawa anak atau golongan yang belum diberi vaksin Covid-19 ke tempat awam yang terdapat ramai orang dan sesak.

“Jika terpaksa keluar, sentiasa pastikan pelitup muka dipakai dan penjarakan fizikal diamalkan. Bagi yang bekerja, sekiranya tidak sihat, jangan pergi bekerja,” katanya. - Bernama