Hampir semua anggota ATM terima dua dos vaksin

Hampir semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 132,885 orang telah lengkap penerimaan dua dos vaksin Covid-19. - Foto Bernama
Hampir semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 132,885 orang telah lengkap penerimaan dua dos vaksin Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Hampir semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 132,885 orang telah lengkap penerimaan dua dos vaksin Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan berkata, pemberian vaksin kepada anggota ATM dilihat lebih memudahkan petugas barisan hadapan itu dalam melaksanakan tugas termasuk menjalankan latihan ketenteraan.

“Kesemua tentera kita telah selesai terima dua dos suntikan vaksin kecuali yang berada di luar negara bagi menjalani kursus dan sebagainya. Sekarang kami dalam proses untuk memberi vaksin kepada keluarga tentera pula.

“Mereka ini terlibat dalam operasi pertahankan negara, jadi kami memang beri keutamaan vaksinasi yang mana bimbang sekiranya mereka tidak divaksin jika berlaku apa-apa aset tidak boleh diatur gerak,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Eksesais Taming Sari 20/21 di Markas Wilayah Laut 1, di sini pada Khamis.

Turut hadir pada program itu adalah Timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan dua lagi kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka tiba pada hujung tahun ini.

“Sebenarnya kita boleh terima lebih awal aset-aset termasuk helikopter yang dibeli dari luar tetapi berlaku kelewatan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai eksesais yang membabitkan 1,080 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu beliau berkata, ia bertujuan menguji keupayaan peralatan untuk mengesan dan menjejak serta sistem pelancar misil bagi kapal dan kapal selam TLDM.

Artikel Berkaitan:

Eksesais terbesar yang dijalankan selama enam hari di Laut China Selatan itu, menurut Ismail Sabri juga bagi mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan di samping meningkatkan kesiapsiagaan aset TLDM.

“Aset-aset kita kini bersedia untuk diatur gerak sekiranya diperlukan bagi mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,” katanya.

Antara aset yang terlibat dalam eksesais berkenaan ialah Kapal KD Lekiu, KD Lekir, KD Jebat dan KD Mahawangsa, kapal selam KD Tun Razak, helikopter Super LYNX serta pesawat B200T manakala aset APMM melibatkan helikopter AS365 N3 Dauphin dan AW139.

Sempena bulan kemerdekaan, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada warga TLDM dan wira-wira negara yang berkorban berjauhan dengan keluarga berikutan tuntutan tugas demi kedaulatan dan keamanan negara.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada warga TLDM Markas Wilayah Laut 1 sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos. - Bernama