KKUUiTM hargai petugas, sukarelawan PPV UiTM

Zulkifli (dua dari kanan) mewakili KKUUiTM menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada petugas PPV Mega Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada Khamis.
Zulkifli (dua dari kanan) mewakili KKUUiTM menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada petugas PPV Mega Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada Khamis.

Presiden KKUUiTM, Zulkifli Mohamed berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memastikan imunisasi kelompok mencapai matlamat.

Menurut Zulkifli, pihaknya memahami pengorbanan staf UiTM seluruh negara yang komited dalam memberikan perkhidmatan sebagai petugas serta sukarelawan semenjak PPV beroperasi di UiTM.

"Sepanjang pandemik Covid-19 bermula 18 Mac tahun lalu sehingga ke hari ini, KKUUiTM telah memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan.

"Sumbangan turut disalurkan kepada ahli-ahli kesatuan yang menjalani kuarantin akibat positif Covid-19.

"Pada hari ini, kita panjangkan sumbangan kepada semua tujuh PPV yang beroperasi di dalam UiTM seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat membantu petugas dan sukarelawan PPV UiTM menabur khidmat bakti kepada masyarakat bagi mencegah penularan Covid-19.

KKUUiTM turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Hospital UiTM, Profesor Dr Sazzli Shahlan Kassim serta semua petugas yang berjaya mengurus PPV Mega Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam.

Artikel Berkaitan: