Kes denggi NS meningkat 200 peratus

Gambar kecil, Veerapan.
Gambar kecil, Veerapan.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan kes demam denggi 200 peratus bagi tempoh Januari sehingga 27 Februari berbanding tahun lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, bagi tempoh berkenaan sebanyak 528 kes direkodkan berbanding 176 kes pada tempoh sama.

Menurutnya, terdapat tiga kes kematian direkodkan yang mana melibatkan orang dewasa yang mempunyai penyakit lain seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

"Taburan kumulatif kes denggi mengikut daerah ialah (423 kes) di Seremban, (29 kes) di Port Dickson, (30 kes) di Tampin, (15 kes) di Rembau, (12 kes) di daerah Jempol, (9 kes) di Kuala Pilah dan (10 kes) di Jelebu.

"Pada Rabu lepas, 15 lokaliti wabak di Seremban dikesan masih aktif. Oleh kerana bilangan kes kumulatif yang tinggi, maka aktiviti pencegahan dan kawalan telah dipergiatkan lagi pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Selain itu katanya, masih terdapat pembiakan nyamuk aedes di tempat takungan air seperti di tempat pembuangan sampah haram, binaan haram, rumah kosong, tanah lapang dan terbiar, taman permainan serta tempat penyimpanan barang di lorong belakang.

Sehubungan itu katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memusnahkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar kediaman.

"Agensi kerajaan berkaitan terus menjalankan aktiviti kawalan denggi serta gerak gempur memusnahkan tempat pembiakan aedes. Ini juga termasuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa semasa aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan aedes dan semburan ruang termal (fogging) dijalankan dengan membenarkan kawasan rumah diperiksa dan mengikut arahan yang diberikan,"katanya.

Mengenai cuaca panas yang melanda negara ketika ini, Veerapan berkata, sehingga kini, tiada kes strok haba dilaporkan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko mendapat strok haba dan segera dapatkan rawatan jika terdapat gejala keletihan haba.