Tugas getir menanti KDA FC

Kpah Sherman (kanan) dan Renan Alves (kiri) bersama pemain KDA FC lain giat menjalani latihan di Stadium Darul Aman, Alor Setar sejak beberapa hari lalu. - Foto ihsan Kedah Darul Aman FC
Kpah Sherman (kanan) dan Renan Alves (kiri) bersama pemain KDA FC lain giat menjalani latihan di Stadium Darul Aman, Alor Setar sejak beberapa hari lalu. - Foto ihsan Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) berdepan tugas getir apabila menerima kunjungan Selangor FC bagi aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Ketua Jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak berkata, pasukannya yang tidak beraksi sejak dua minggu lalu akibat dikuarantin selepas dua pemainnya positif Covid-19 menyaksikan mereka kekurangan 'match fitness' berbanding pasukan pelawat.

Menurut beliau, Selangor yang sudah beraksi empat perlawanan termasuk menang dua perlawanan terakhir pastinya mahu mengekalkan momentum tersebut apabila berdepan Hijau Kuning di Alor Setar.

"Selangor FC ada kelebihan kerana mereka sudah beraksi dalam empat perlawanan lalu termasuk mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.

"Mereka juga ada ramai pemain yang pantas tetapi kita akan cuba yang terbaik esok dengan mematahkan serangan-serangan pantas yang akan dilakukan oleh mereka," katanya kepada pemberita mengulas perlawanan KDA FC bertemu Selangor FC di Alor Setar pada Khamis.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, KDA FC menyasarkan mengutip mata pada aksi berkenaan sebagai pemangkin semangat untuk menghadapi jadual padat Liga Super selepas ini.

"Walaupun hampir dua bulan pemain-pemain KDA FC tidak beraksi, namun mereka sudah mendapat rentak pada sesi latihan di padang.

"Kita jangka untuk perlawanan pertama dan kedua ini mungkin tidak akan bagus kerana sudah lama tidak bersaing namun apa yang penting adalah mendapatkan satu atau tiga mata esok sebagai permulaan balik dalam Liga Super," ujarnya.

Artikel Berkaitan: