Undi percaya terhadap Perdana Menteri 7 September ini: Saifuddin

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 7 September ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Bercakap pada sidang akhbar selepas program Turun Padang Secara Maya bersama CyberSecurity Malaysia pada Khamis, Saifuddin yang juga Pengerusi PN Pahang berkata, perkara itu telah ditetapkan menerusi aturan urusan mesyuarat Parlimen bagi sesi persidangan akan datang.

“Buat masa sekarang, ini tarikhnya dan notis telah dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat (Datuk Azhar Azizan Harun) supaya ia diadakan pada 7 September ini," katanya sambil menambah notis pemberitahuan telah diedarkan kepada semua ahli Parlimen untuk makluman.

Beliau berkata, penetapan tarikh itu sekali gus menolak dakwaan bahawa usul undi percaya kepada Muhyiddin akan diadakan pada 18 Ogos ini.

Muhyiddin sebelum ini menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September ini. Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadualkan bermula dari 6 hingga 30 September.

Mengulas pelaksanaan undi percaya itu, Saifuddin berkata, perkara tersebut dibincangkan di peringkat kabinet.

“Kabinet masih membincangkan bagaimana usul itu akan dikendalikan termasuk kemungkinan Muhyiddin akan diberi peluang berucap sebelum pengundian dijalankan atau mungkin dibawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau menteri lain yang dilantik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keabsahan PM, PN ditentukan di Parlimen September depan

Menyentuh sokongan kepada Muhyiddin, Saifuddin menyatakan pendirian teguh beliau bersama dengan semua parti komponen di dalam PN yang terus istiqamah terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga berkata, Muhyiddin sama sekali tidak berniat untuk melengahkan penganjuran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya terpaksa mengambil kira perkembangan situasi penularan jangkitan pandemik Covid-19 ketika ini yang kurang sesuai untuk PRU15.

“PM (Perdana Menteri) sejak awal lagi berulang kali menekankan perkara ini. Tapi terpaksa tangguh sebab situasi Covid-19,” katanya. - Bernama