Proton lancar Iriz 2019 bulan depan

Li Chunrong (tiga, kiri) ketika Majlis Pratonton Media Proton Iriz 2019 di Pusat Kecemerlangan Proton, hari ini. - Foto Bernama
A
A

PEMBUAT kereta nasional, Proton, merancang untuk melancarkan model Iriz 2019 yang dipertingkat pada bulan depan selepas melaksanakan 367 pembaharuan sebagai sebahagian wajah baharu model itu termasuk prestasi sistem brek, penggunaan bahan api dan sistem hiburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata kereta itu akan menampilkan unit stereo pintar yang menggunakan eSIM dan menawarkan aplikasi seperti penstriman muzik, sistem navigasi dan pengecaman suara seperti ciri-ciri X70, kenderaan utiliti sukan pertama Proton.

“Susulan pelancaran Proton X70, Proton Iriz 2019 akan menjadi model kedua yang dilengkapi fungsi tawaran unit stereo pintar seperti pengecaman suara, sistem navigasi dan penstriman muzik di samping menggunakan kata laluan yang sama, Hi Proton!, bagi mengakses sistem,” katanya kepada pemberita semasa previu Iriz baharu kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan lain termasuk bampar depan baharu yang menyerlah disempurnakan dengan gril radiator bawah terkini serta lampu nyalaan siang (DRL) diod pemancar cahaya (LED) yang menambahkan lagi sentuhan sofistikated kepada keseluruhan reka bentuk.

Li berkata di bahagian belakang, perkataan PROTON kini tampak lebih jelas dengan diletakkan pada bahagian tailgate, yang mana sebelum ini dihiasi logo.

“Secara visual, ia kini kelihatan lebih lebar, dengan kesan lebih ditumpukan pada bampar belakang baharu berserta garisan menegak dan garisan bampar baharu,” katanya.

Beliau berkata kereta itu juga diberi penarafan lima bintang bagi aspek keselamatan mengikut Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Sempena pelancaran Iriz 2019 akan datang, beliau berkata, Proton akan mengadakan jualan kilat mulai esok hingga 11 Mac, 2019 dengan pembeli yang berminat boleh menempah secara dalam talian pada hanya RM9.99.

“Menerusi langkah itu, Proton juga akan memberi ganjaran cukai jalan percuma selama dua tahun kepada mereka sebagai tanda penghargaan kami atas tempahan Iriz sebelum pelancarannya nanti,” katanya.

Li berkata Proton juga akan mengadakan previu pelanggan di beberapa outlet Proton Edar untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat Iriz 2019 secara lebih dekat sebelum pelancaran rasmi.

Iriz baharu ditawarkan dengan lima warna pilihan - perak, putih, kelabu, merah dan hijau - serta lima varian iaitu standard 1.3 liter (transmisi manual); standard 1.3 liter (transmisi boleh laras berterusan (CVT)); executive 1.3 liter CVT; executive 1.6 liter CVT; dan premium 1.6 liter. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia