Kerajaan Pahang sedia tanggung kos urus jenazah Covid-19

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN- Kerajaan Pahang bersedia menanggung kos pengurusan jenazah yang meninggal dunia disebabkan positif Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keluarga waris yang berdepan dengan beban kewangan.

Menurutnya, semua pengurusan jenazah berkaitan Covid-19 diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital-hospital terbabit menggunakan khidmat badan-badan sukarela.

"Badan-badan sukarela ini pula mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris bagi kerja-kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengkebumian, selain menyediakan kain kafan, keranda dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas.

"Justeru MMKN memutuskan, badan-badan sukarela berkenaan kini boleh menuntut bayaran tersebut dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah Covid-19 akan ditubuhkan dan tabung itu dikendalikan oleh JAIP.

Katanya, sebagai permulaan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas ini.

Wan Rosdy menambah, pihak JAIP akan meminta semua masjid di negeri ini untuk membuat kutipan khas dalam kalangan kariah masjid masing-masing dan kutipan itu akan disalurkan ke tabung bantuan khas ini.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan keputusan yang dibuat kerajaan negeri mendapat kerjasama baik semua pihak untuk menjayakannya," katanya.