Kes jenayah di Kuching terkawal

No Image Caption
A
A
A

KUCHING – Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching telah melaporkan sebanyak 232 kes jenayah sejak 1 Januari sehingga 26 Februari tahun ini.

Ketua IPD Kuching ACP Ng Ah Lek berkata, ini menunjukkan peningkatan hanya tiga kes atau 1.31 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kes jenayah yang dilaporkan antaranya adalah kes jenayah kekerasan sebanyak 32 kes, dan jenayah harta benda 200 kes”, katanya pada Majlis Serah/Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kuching yang disaksikan oleh Ketua Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak SAC Dennis Leong Soon Kuai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Ng yang bersara mulai hari ini, menyerahkan tugas beliau kepada Timbalan Ketua IPD Kuching Supt Ismail Mahmood.

Ng berkata, sepanjang tempoh tersebut, IPD Kuching berjaya membuat tangkapan melibatkan 96 suspek atas pelbagai kesalahan jenayah harta benda termasuk curi kenderaan yang dilakukan oleh Geng Ameng dan tangkapan itu dilakukan oleh pasukan JSJ Lejang, IPD Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata, peningkatan kes telah berlaku sepanjang tempoh ini namun ianya tidak membimbangkan kerana masih dalam kawalan pihak IPD Kuching.

Menurut laporan statistik jenayah indeks tahunan daerah Kuching, satu kes bunuh dilaporkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini manakala dua kes rogol dilaporkan pada tempoh yang sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: