X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Lapan ahli Geng Acol aktif samun berkumpulan diberkas

Antara motosikal yang digunakan suspek turut dirampas.
A
A

AMPANG - Seramai lapan individu termasuk seorang wanita disyaki ahli Geng Acoi yang aktif melakukan jenayah samun berkumpulan ditahan secara berasingan dalam serbuan di Selayang dan Gombak sejak 3 Ogos hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 21 hingga 35 tahun.

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis merampas 74 buah telefon bimbit dan tiga buah komputer riba yang dipercayai hasil kejadian samun.

"Selain itu, kita turut merampas tiga bilah parang, empat bilah pedang, dua pisau lipat, tiga pisau, sebilah kapak dan enam buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah mensasarkan mangsa yang berseorangan di suatu kawasan yang sunyi dan tiada orang ramai.

Antara barangan yang dirampas di Selayang dan Gombak.
Antara barangan yang dirampas di Selayang dan Gombak.

"Suspek menggunakan senjata pisau atau parang untuk menakutkan mangsa sebelum mengambil barang antaranya, dompet duit, beg galas, wang tunai dan telefon bimbit serta lain-lain barangan yang berharga.

"Bagi mengaburi pihak polis, suspek juga bertindak menggunakan secara bergilir menunggang dua buah motosikal dirampas dalam setiap kes samun yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dalam penglibatan kesemua suspek bagi kes-kes lain di Ampang dan daerah lain.

"Hasil tangkapan dan rampasan ini, kita berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan dengan senjata di Ampang Jaya dan satu kes di Gombak," katanya.

Tambah Mohamad Farouk, hasil semakan rekod jenayah hanya seorang sahaja tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala tangkapan lain mempunyai rekod jenayah dan narkotik.

"Salah seorang daripada mereka masih dikehendaki bagi kes narkotik dan komersil.

"Hasil saringan awal air kencing pula mendapati enam individu positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!