502 anggota polis Johor, keluarga positif Covid-19

Seramai 502 anggota polis Johor termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu hingga Selasa.
Seramai 502 anggota polis Johor termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu hingga Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 502 anggota polis di negeri ini termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu hingga Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu sebanyak 282 kes melibatkan pegawai dan anggota manakala 220 kes melibatkan ahli keluarga mereka.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh berkenaan empat kematian direkodkan membabitkan dua anggota dan dua lagi ahli keluarga.

"Dalam tempoh sama, seramai 2,518 pegawai dan anggota polis kontinjen Johor serta 446 ahli keluarga mereka menjalani tempoh kuarantin.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Kontinjen Johor sama ada positif atau dikuarantin ialah 3,466 kes," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta bantuan orang awam untuk mengesan seorang wanita berusia 27 tahun bernama Nur Fatin Shaera Md Aris untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Katanya, alamat terakhir wanita berkenaan adalah di Pos 51, Kampung Parit Bingan, 86400, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Asisten Superintenden Ahmad Shamsul Rebu menerusi talian 019-7382140 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: