Women Netpreneur perkasa usahawan wanita

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyasarkan untuk membantu usahawan wanita menguasai kemahiran e-dagang melalui Program Women Netpreneur anjuran agensinya, SME Corp Malaysia.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelaksanaan program itu adalah tepat pada masanya untuk usahawan wanita mengadaptasi perniagaan secara digital dan menyeluruh.

“Dalam situasi mencabar ini (pandemik Covid-19), kita bukan sahaja harus siap siaga usahawan-usahawan wanita ini dalam transformasi digital, tetapi turut melakukan kejuruteraan semula kepada perniagaan mereka.

“Semua pihak termasuk pemegang taruh juga perlu bersama-sama melibatkan diri dan memainkan peranan masing-masing supaya ekosistem lebih kondusif dan dapat membantu usahawan wanita (terutamanya),” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Women Netpreneur 2021 secara maya pada Khamis.

Beliau berharap usahawan wanita dapat memanfaatkan penggunaan digitalisasi dan teknologi sebagai pemangkin perniagaan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kemahiran serta mengukuhkan aliran tunai perniagaan.

“Saya percaya segmen pendigitalan dan teknologi mempunyai spektrum sangat luas dan dengan kerjasama agensi kementerian, Insya- Allah apa yang kita hasratkan akan tercapai,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, sejumlah 20.6 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia adalah milikan wanita dan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara.

“Ini terbukti apabila perniagaan milikan wanita telah menyumbang sebanyak RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan membuka peluang kepada lebih 786,132 peluang pekerjaan dengan penggajian sebanyak RM11.1 bilion,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, terdapat peningkatan 101 peratus peniaga yang telah beralih kepada platform e-dagang iaitu daripada 244,000 peniaga pada suku pertama 2020 kepada 490,000 peniaga pada suku pertama 2021.

Selain itu, bilangan peniaga yang berdaftar untuk sistem pembayaran melalui kod QR telah meningkat 164 peratus peratus kepada 773,000 peniaga pada suku pertama tahun ini berbanding 293,000 peniaga pada suku pertama tahun lepas.

“Ini adalah isyarat yang cukup baik terutama untuk industri digital yang mana usahawan juga telah sama-sama mengambil peluang untuk melebarkan sayap perniagaan mereka dengan mengambil peluang atau akses kepada teknologi dan digital.

“Ia sekali gus dapat membantu memaksimumkan jualan, pemasaran produk mereka secara dalam talian,” katanya sambil menyatakan kadar penerimagunaan e-dagang dalam kalangan peniaga sebelum penularan Covid-19 adalah rendah iaitu 48 peratus.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, program Women Netpreneur dijangka memberi manfaat kepada 480 usahawan wanita dengan siri kedua akan diteruskan bermula Ogos sehingga November ini kerana menerima sambutan memberangsangkan.

Sejak dilaksanakan pada 2017, seramai 2,280 usahawan wanita telah dilatih melalui program ini sehingga bulan lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus peserta telah berjaya melanggan platform e-dagang seperti Facebook, Shopee dan Lazada untuk menjalankan perniagaan. -Bernama