Pemain Kelantan FC dituntut kekalkan momentum kemenangan

Antara aksi pemain Kelantan FC ketika bertemu KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Rabu.
Antara aksi pemain Kelantan FC ketika bertemu KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemain-pemain Kelantan FC perlu mengekalkan momentum kemenangan dalam baki empat perlawanan Liga Premier seterusnya bagi memastikan sasaran berada di kedudukan lima teratas liga berjaya dicapai.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, kejayaan menumpaskan Kelantan United (KUFC) 3-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi, perlu menjadi 'tonik' tambahan kepada pasukan dalam menghadapi empat lagi aksi selepas ini.

"Pemain memberi komitmen yang baik menerusi persembahan dan permainan. Ia satu permulaan yang baik kepada kami selepas tiga kali berturut-turut tewas pada perlawanan sebelum ini dan saya mengharapkan prestasi hari ini dikekalkan.

"Saya mahu mereka 'menjaga' prestasi ini kerana kami ada empat lagi perlawanan selepas ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu, malam tadi.

Dalam perlawanan berkenaan, pemain import dari Indonesia Natanael Siringo Ringo menjaringkan dua gol untuk membantu Kelantan FC menundukkan KUFC 3-1 dalam pertembungan 'derby' di stadium itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KUFC, Nazrulerwan Makmor menjelaskan, corak permainan yang ditampilkan pemain malam tadi dianggap teruk biarpun memiliki banyak peluang terbuka dalam aksi berkenaan.

"Dalam bola sepak kita kena terima kekalahan, namun saya tidak boleh terima dengan cara mereka bermain. Kita ada peluang pada separuh masa pertama, sepatutnya empat jaringan boleh dihasilkan namun pemain kami tidak menjaringkan gol.

"Pemain dilihat tidak mempunyai arah untuk menyerang. Kami akan membuat post-mortem kerana ada baki empat lagi perlawanan selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas perlawanan malam tadi, Kelantan FC berada di kedudukan ketujuh dalam saingan Liga Premier dengan 21 mata daripada 16 perlawanan, manakala KUFC di tangga kelapan dengan 20 mata daripada 16 perlawanan. -Bernama