Bank makanan tangani pembaziran

A
A
A

MENAKUTKAN dan memalukan bila kita merenung statistik ini. Fakta menyatakan 11.3 peratus daripada populasi dunia kini sedang kelaparan. Daripada 7.6 bilion populasi dunia, sekitar 816 juta penduduk dunia hidup dalam keadaan tidak dapat makanan berzat setiap hari, dan mereka mengkonsumsi kurang daripada 2,100 kalori sehari.

Dunia sebenarnya masih mampu menghasilkan makanan mencukupi untuk 7.6 bilion penduduk, tetapi yang lapar sama ada tidak punya tanah untuk menghasilkan makanan sendiri atau tidak mampu membeli makanan.

Kelaparan selalunya bukan masalah makanan, tetapi pembaziran dan pembuangan makanan tersisa atau tidak dijual. Secara kasar 15-30 peratus makanan di negara membangun terbuang. Berbilion kilogram makanan dibuang. Satu daripada empat orang di dunia sekarang tidak mendapat makanan berzat. Jadi perlu ada mekanisme bagaimana mengumpul makanan lebihan untuk disalurkan kepada kelompok memerlukan.

Pada 2010, dianggarkan 7.6 juta kanak-kanak — lebih 20,000 sehari - mati. Tidak cukup zat menyebabkan separuh daripada kematian. Hampir 98 peratus mereka di negara membangun mati pada umur 5 tahun, kebanyakan kerana kelaparan. Dianggarkan satu daripada 15 kanak-kanak mati sebelum umur 5 tahun, kebanyakan berkait dengan kelaparan. Sementara kebuluran wujud di seluruh dunia, 526 juta menghadapi kelaparan di Asia.

Selepas meneliti segala angka yang memeritkan di atas, sekarang kita terpaksa dihadapkan dengan realiti memalukan. Malah data yang dikumpul lebih melambang sebuah skandal sedang berlaku.

Secara kasar satu pertiga makanan yang dikeluarkan di dunia - dianggarkan 1.3 bilion tan - hilang atau terbuang. Kehilangan makanan dan makanan yang terbuang bernilai sekitar USD 680 bilion di negara industri dan USD 310 bilion di negara membangun. Sayuran dan buah-buahan adalah makanan buangan tertinggi.

Di Malaysia, direkodkan 15,000 metrik tan makanan terbuang sehari, manakala 3,000 metrik tan darinya masih boleh dimakan. Pada bulan Ramadan pernah direkod sebanyak 650,000 metrik tan makanan terbuang.

Makanan di negara membangun juga hilang dan terbuang sebanyak 40 peratus semasa pasca tuai dan pada masa diproses. Manakala di negara maju lebih 40 peratus hilang ketika tahap runcit dan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Makanan terbuang bermakna menyumbang kepada kehilangan dan pembaziran sumber alam termasuk air, tanah, tenaga, buruh dan modal. Lebih parah ia membawa kesan pemanasan bumi dan perubahan cuaca.

Demikian gambaran yang sangat kontradik dengan apa sepatutnya berlaku iaitu sementara kita berada pada zaman mampu mengeluarkan makanan mencukupi, kita dihadapi realiti bahawa kita sedang dan terus membuang makanan dengan skala berbilion dolar dari berjuta kilogram makanan sehari.

Lantaran itu, inisiatif Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, meluncurkan Bank Makanan sangat positif untuk mengetengahkan suatu alternatif menyelesaikan isu mereka yang tidak mampu membeli makanan dan pihak yang membazir serta membuang makanan. Dari satu segi ia boleh mengatasi sebahagian masalah kos sara hidup terutama golongan asnaf dan berpendapatan rendah.

Bank Makanan adalah sebuah inisiatif untuk mengumpul dan mengedar makanan kepada pihak yang memerlukan. Ia berfungsi sebagai pusat menyimpan dan mengedar makanan.

Sejak 1980-an, bank makanan merebak di seluruh dunia. Wujud 25 negara yang aktif mempunyai bank makanan di bawah jaringan “The Global FoodBanking Network”. Mengikut rekod jaringan tersebut, ia mengedar makanan kepada 7.8 juta orang di 31 negara. Kini ia mempunyai 811 pusat bank makanan yang mengedar 471 juta kilogram makanan. Gerak kerja melibatkan 436 penggerak dan disokong oleh 55,000 agensi.

Persoalannya ialah, sementara bank makanan adalah altenatif yang baik untuk memberi makanan kepada golongan yang tidak mampu, adakah ia akan menjadi institusi kekal atau bersifat sementara. Persoalan tidak cukup makanan adalah kerana pembaziran, kemiskinan, pengurusan pengeluaran makanan, eksploitasi harga makanan dan juga kerana wujud jurang pendapatan. Maka, perlu ada suatu pandangan jauh untuk menjadikan program bank makanan sebagai inisiatif yang berkesan memerangi kelaparan dan kebuluran.

Pengurusan untuk mendapatkan makanan yang dijamin keselamatannya dari sudut kesihatan, koordinasi dan logistik, perjanjian dan undang-undang dan penguatkuasaan untuk mengelak salah guna dan kontaminasi makanan, pengedaran, penentuan keperluan kelompok yang memerlukan makanan serta pemantauan dan kesinambungan fungsi bank makanan itu sendiri. Semua ini perlu diteliti dan halusi.

* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu