Pembukaan sekolah perlu ada SOP lebih jelas

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 1 September ini perlu ada prosedur operasi standard (SOP) lebih jelas susulan terdapat peningkatan kes jangkitan harian dan kemunculan mutasi berbahaya seperti varian Delta dan Lambda.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan Negeri Sembilan menyokong pembukaan sekolah secara bersemuka itu.

"Bagaimanapun, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk melibatkan pelajar sekolah selain wujudnya kluster baharu.

"Justeru, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) harus bersedia dengan SOP yang jelas dan perlukan pastikan anak-anak ini mendapat vaksin terlebih dahulu barulah kita benarkan mereka menghadiri kuliah atau pelajaran secara bersemuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2021 di sini, pada Khamis.

Pada 17 Julai lepas, KPM dalam kenyataan memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu diputuskan selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Aminuddin ketika berucap merasmikan program itu berkata, setakat Selasa lalu, seramai 653,938 iaitu 80.3 peratus rakyat dewasa di negeri ini telah menerima dos pertama vaksin manakala seramai 441,798 iaitu 54.25 peratus telah selesai divaksinasi dan ia merupakan pencapaian yang membanggakan.

Artikel Berkaitan:

"Semoga dengan usaha vaksinasi ini akan mampu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 bagi membolehkan kita kembali kepada kehidupan seperti biasa namun rakyat diingatkan agar terus mematuhi SOP ditetapkan sebagai usaha mengekang penularan wabak ini," katanya.

Negeri Sembilan, pada Rabu merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 1,015 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini 81,571 kes.