Sidang DUN Johor ditangguhkan pada 22 Ogos

Hasni
Hasni
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menangguhkan Mesyuarat Pertama Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 pada Khamis bagi membolehkan penilaian berkaitan prosedur operasi standard (SOP) persidangan dilakukan.

"Mesyuarat Pertama Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 yang telah selesai dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini ditangguhkan sehingga 22 Ogos bagi membolehkan penilaian SOP persidangan yang lebih ketat dilakukan," katanya ketika menangguhkan persidangan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, penangguhan itu dibuat kerana perlunya pematuhan SOP dipertingkatkan bagi mengelakkan situasi di Parlimen baru-baru ini berlaku pada sidang DUN Johor kali ini.

"Kerajaan negeri tidak mahu perkara yang berlaku di Parlimen terjadi pada sidang DUN, baharu separuh jalan sudah ditangguhkan kerana terdapat kes-kes jangkitan Covid- 19 dalam kalangan ahli.

"Pada waktu ini Speaker sedang memperhalusi SOP yang ditetapkan melibatkan tempoh berapa hari bersidang dan tempoh berapa lama sesi persidangan akan diadakan. Perkara ini akan dibincangkan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ)," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Menurut Hasni, bagi memastikan keselamatan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kerajaan negeri akan membentuk gelembung pergerakan dengan memastikan kesemua ADUN berada di sebuah lokasi yang selamat.

"Kerajaan negeri akan bentuk satu gelembung pergerakan ADUN, mereka ini akan berada di lokasi yang lebih selamat daripada sebarang kemungkinan dan tidak rapat dengan mana-mana pihak bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

"Bagi mempertingkatkan pematuhan SOP, keperluan seperti pemasangan cermin lutsinar, bilangan yang boleh hadir, kaedah sebelum hadir ke dewan dan sewaktu persidangan antara yang akan diteliti dan dipatuhi," katanya.

Artikel Berkaitan: