Ibu hamil, OKU boleh 'walk-in' suntik vaksin
GEORGETOWN - Semua ibu hamil,menyusukan bayi dan orang kurang upaya (OKU) yang belum mendaftar suntikan vaksin di aplikasi MySejahtera dibenarkan terus pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dikhaskan bagi tujuan tersebut.
Selain belum mendaftar, tiga golongan itu yang belum memperoleh tarikh janji temu juga boleh berbuat demikian.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan PPV terlibat dan tarikh dalam masa terdekat bagi membolehkan ketiga-tiga golongan itu mendapatkan suntikan vaksin.
Menurutnya, ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk mencapai imuniti kelompok dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.
"Usaha ini bermula pada 2 Ogos lalu dan semua warga emas yang tidak mendaftar serta belum terima tarikh janji temu boleh 'walk-in' ke PPV dan tarikh yang ditetapkan.
"Bagaimanapun, selepas seminggu ia dijalankan, jumlah warga emas yang hadir secara 'walk-in' itu telah berkurangan. Ia menunjukkan ramai sudah menerima suntikan vaksin," katanya kepada pemberita di Program Penang Saring Covid-19 di Taman Manggis di sini pada Khamis.
Kon Yeow memberitahu, sehingga 28 Julai Pulau Pinang telah mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menggunakan keputusan ujian saringan Covid-19 menggunakan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) untuk dilaporkan sebagai statistik bilangan kes bermula minggu ini.
Katanya, ia berikutan kadar kes positif Covid-19 di negeri ini berada pada kadar 11 peratus.
"JKNPP hanya akan kembali menggunakan protokol Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) selepas kadar kes menurun kepada kurang daripada 10 peratus.
"Mulai minggu ini, JKNPP akan menggunakan keputusan saringan RTK-Antigen untuk dilaporkan sebagai statistik bilangan kes dan tidak lagi menunggu RT-PCR.
"Kita jangkakan bilangan kes akan bertambah selepas menggunakan keputusan saringan RTK-Antigen ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!