3,000 guru Tadika di Selangor belum mohon bantuan RM150

Info grafik mengenai bantuan khas guru Tadika dikongsi Amirudin di Facebook beliau pada Khamis.
Info grafik mengenai bantuan khas guru Tadika dikongsi Amirudin di Facebook beliau pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 3,000 guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tadika) di Selangor masih belum memohon bantuan RM150 yang ditawarkan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan itu yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, guru Tadika yang masih belum mengemukakan permohonan boleh berbuat demikian dalam waktu terdekat.

"Permohonan fasa kedua bermula 15 Ogos (Ahad) ini bagi memastikan peruntukan bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya," katanya menerusi status di Facebook beliau pada Khamis.

Amirudin berkata, bantuan khas sekali bayar sehingga kini sudah menerima sebanyak 7,177 daripada 10,197 permohonan.

"Semoga bantuan ini dapat meringankan beban pendidik yang sangat berjasa besar dalam pembangunan insan negeri," katanya.

Pada 9 Jun lalu, Amirudin mengumumkan bantuan RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya melibatkan peruntukan berjumlah RM1.99 juta.

Inisiatif bantuan kepada guru dan pengusaha tadika itu termasuk dalam pelan bernilai RM551.56 juta membantu 1.6 juta penduduk terkesan selepas PKP termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat industri pelancongan.

Artikel Berkaitan: