Laporan polis bukan ugutan kepada pengkritik

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM
A
A
A

ALOR SETAR - Laporan polis yang dibuat terhadap beberapa individu susulan komen mengaibkan serta berbaur jenayah terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bukan ugutan untuk menakutkan pengkritik.

Pengarah Jawatankuasa Hak Asasi Manusia & Undang-Undang (Juham) Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah, Tuan Ibrahim Ismail berkata, hak kebebasan bersuara di Malaysia dijamin Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, penggubalan undang-undang yang boleh menyekat kebebasan bersuara juga termaktub di bawah Perkara 10(2)(a) dan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada definisi bersuara atau bercakap dalam Perlembagaan malah apa juga bentuk ekspresi termasuk berpakaian, aksi, lukisan,mural dan ekspresi mengikut medium tertentu boleh dianggap sebagai bersuara dan bercakap.

"Perbuatan 'body Shaming, 'denigration', 'harassment' merupakan kesalahan yang paling kerap dilakukan pengguna media sosial ketika ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, polis kerap menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalah gunakan media sosial dengan memuat naik video kata-kata kesat atau menghina.

Tambah beliau, melemparkan perkataan yang sangat jelik kepada orang lain secara terbuka merupakan pelanggaran jelas tatasusila masyarakat dan lebih parah apabila perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan individu.

Tuan Ibrahim juga memberitahu, pemimpin politik juga tidak wajar memberi sokongan kepada pelaku perbuatan tersebut semata-mata ingin meraih sokongan rakyat kerana ada dalam kalangan mereka juga pernah menjadi mangsa kes yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat harus mengambil pengajaran dari setiap tindakan pihak berkuasa dalam menangani 'hate speech' dalam negara.

"Bagaimanapun, Juham Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah, menasihati pihak berkuasa mengunakan budi bicara semasa proses penyiasatan secara adil dan saksama untuk menegakkan keadilan," katanya

Ahad lalu, seorang pentadbir laman sosial Menteri Besar Kedah membuat laporan kerana menerima kiriman mesej berbaur ugutan dan kata-kata kesat yang dituju kepada Muhammad Sanusi melalui perkhidmatan Facebook Messenger.

Setakat ini, seramai empat individu telah ditahan polis untuk membantu siasatan iaitu dua di Alor Setar, seorang di Taiping, Perak dan seorang di Lenggeng, Negeri Sembilan.