X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

HRPZ II sedia wad khas untuk pesakit kes biasa

Gambar yang tular di laman sosial pada Rabu adalah katil wad sementara bukan Covid-19 yang disediakan untuk sebarang pertambahan pesakit.
A
A

KOTA BHARU – Walaupun berdepan dengan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 yang tinggi, namun Hospital Raja Perempuan Zainab II tetap menyediakan wad khas untuk pesakit kes-kes biasa di empat kawasan utama hospital berkenaan.

Pengarahnya HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, empat kawasan berkenaan adalah Wad Harian Perubatan, Wad Harian Pembedahan, ruang legar klinik Perubatan dan Dewan Syarahan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G).

“Ia merupakan persediaan kita dengan keadaan sekarang melibatkan pelonjakan kes dan sebagainya.

Untuk buka hospital medan pun kena ambil masa juga, jadi kita ada ruang di hospital, maka kita optimumkan kawasan yang kita ada.

“Kalau pesakit Covid-19, mereka perlu kawasan yang khas, tidak boleh sebarangan letak, sebab itu wad-wad kita ada bilik tertutup dan dapat mengelak jangkitan dan penularan dan sebagainya.

“Maka ruang-ruang yang tadi itu boleh dijadikan ruang terbuka untuk wad-wad sementara kes Covid-19 meningkat ini.

Kita gunakan untuk kesiapsiagaan dalam kawasan hospital itu sendiri,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu mengulas mengenai penularan gambar yang menunjukkan kawasan klinik perubatan di HRPZ II dipenuhi dengan katil untuk wad sementara bukan Covid-19.

Gambar tersebut mula tular di laman-laman sosial pada Rabu dan keadaan tersebut ‘menakutkan’ orang ramai yang beranggapan katil-katil berkenaan disediakan untuk pesakit Covid-19 yang didakwa semakin meningkat kini.

Mengulas lanjut, Selasawati memberitahu, bagi penggunaan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, kini kapasiti penggunaan di HRPZ II sudah mencapai hampir 90 peratus.

“Bila kes meningkat, maka kebimbangan kita terhadap penggunaan wad ICU juga memang dijangka.

Buat masa sekarang masih dalam keadaan bertahan, namun jika bertambah, maka kita kena gunapakai wad yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

“Apa yang kita risaukan sekarang adalah kes-kes ICU yang tidak melibatkan Covid-19 seperti kemalangan dan sebagainya.

Kita perlu bersedia memandangkan kerajaan sudah beri kelonggaran pergerakan, maka risiko kemalangan itu tinggi,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!