Pulau Pinang minta kaji semula SOP 'dine-in'

Kon Yeow (kanan) meninjau Program Penang Saring Covid-19 di Taman Manggis pada Khamis.
Kon Yeow (kanan) meninjau Program Penang Saring Covid-19 di Taman Manggis pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri meminta kerajaan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi 'dine-in' di premis makanan iaitu sekurang-kurangnya pekerja menerima satu dos suntikan vaksin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut SOP terbaru, premis makanan termasuk kedai makan dibenarkan beroperasi walaupun pengusaha dan pekerja belum divaksin.

Beliau mendakwa, SOP terbaru itu menimbulkan kekeliruan dan pelbagai reaksi daripada banyak pihak berikutan sebelum ini pengendali premis makanan dan pekerja perlu diberi vaksin sepenuhnya.

"Kerajaan Pulau Pinang telah membincangkan hal ini dan berharap SOP yang ada dapat dikaji semula untuk memastikan pengendali premis makanan dan pekerja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 sebelum mereka dibenarkan menjalankan 'dine-in'," katanya kepada pemberita di Program Penang Saring Covid-19 di Taman Manggis di sini pada Khamis.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Katanya, sekiranya hanya lima daripada 10 pekerja premis makanan yang menerima satu dos vaksin, ia bermakna lima pekerja yang belum menerima sebarang vaksin tidak dibenarkan bekerja.

Sebelum ini, individu yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk 'dine-in' atau makan di restoran bermula Selasa lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kebenaran ini hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada dibawah fasa dua dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PN).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kerajaan negeri berharap sebarang percaturan atau kemelut politik yang berlaku di Putrajaya ketika ini tidak akan menjejaskan bekalan vaksin Covid-19 ke negeri di seluruh negara.

Kon Yeow berkata, sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan komitmen bahawa beliau akan menumpukan perhatian kepada program PICK sehingga mencapai matlamat.

"Bekalan vaksin juga bergantung kepada tempahan daripada syarikat pengeluar. Jika sudah sampai tarikh penghantaran, syarikat perlu hantar, siapa pun yang menjadi kerajaan sepatutnya ia tidak menjejaskan kelangsungan program PICK," katanya.